Accessibility Tools

Skip to main content

Cinta Rasul perlu disemai dalam jiwa generasi muda – YB Hilmi

  • 26 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
  • 21

KOTA DARULNAIM, 26 Ogos - Rasa cinta kepada Rasulullah SAW perlu terus disemai dan disuburkan dalam jiwa masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak dan generasi muda bagi membentuk jati diri yang kukuh dalam menghadapi cabaran dunia moden.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, penganjuran Kuliah Khas Maulidur Rasul – Hubbun Nabi menjadi medan sambutan Maulidur Rasul sekali gus berperanan sebagai wadah tarbiah untuk meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dizahirkan melalui selawat dan pujian di bibir dan perlu diterjemahkan dalam bentuk penghayatan sirah, peneladanan akhlak dan kesungguhan mengamalkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan seharian.

“Anak-anak dan pemuda hari ini adalah pewaris masa depan umat. Jika sejak awal mereka dididik mengenal keindahan peribadi Rasulullah SAW, memahami perjuangan Baginda serta mengasihi Baginda dengan sebenar-benar kasih, insya-Allah jiwa mereka akan lebih kuat menghadapi cabaran zaman,” katanya di laman sosial, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kuliah Khas Maulid Rasul di Surau Taman Berkat Jaya, Kubang Lebur, Kuala Krai, semalam.

Menurutnya, program seumpama itu amat penting dalam membentuk benteng tarbiah masyarakat ketika dunia hari ini berdepan pelbagai pengaruh luar, hiburan melampau dan cabaran krisis jati diri.

Katanya lagi, masyarakat perlu memastikan kecintaan kepada Rasulullah SAW terus hidup dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

“Kita mahu melahirkan anak-anak yang membesar dengan menyebut nama Nabi SAW dengan penuh hormat, pemuda yang menjadikan sunnah sebagai panduan hidup dan masyarakat yang menjadikan Baginda sebagai contoh terbaik dalam akhlak, kepimpinan dan perjuangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, para jemaah, ibu bapa, kanak-kanak serta golongan pemuda yang hadir memeriahkan program berkenaan.

Beliau berharap penganjuran Hubbun Nabi menjadi asbab bertambahnya amalan selawat, suburnya mahabbah kepada Rasulullah SAW serta menguatkan iltizam masyarakat untuk terus mencontohi akhlak dan sunnah Baginda.

“Semoga kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW sentiasa hidup dalam hati kita, anak-anak kita dan seluruh umat pada setiap zaman,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!