Accessibility Tools

Skip to main content

Program Sepetang Bersama Penduduk Mukim Bendang Pak Yong perkukuh ukhuwah masyarakat

  • 26 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 25

KOTA DARULNAIM, 26 Ogos – Program Sepetang Bersama Penduduk Mukim Bendang Pak Yong menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti santai yang menghimpunkan penduduk dalam suasana mesra.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan mencerminkan semangat kejiranan dan kebersamaan yang terus subur dalam kehidupan masyarakat setempat.

Menurutnya, penganjuran program berbentuk kemasyarakatan itu menyediakan ruang untuk beriadah dan menjadi medan interaksi bagi mengeratkan hubungan antara penduduk.

“Lebih daripada sebuah program santai, pertemuan seperti ini menjadi ruang untuk kita bertemu, bertanya khabar dan mengeratkan ukhuwah,” katanya media sosial selepas menghadiri program berkenaan di Mukim Bendang Pak Yong, Tumpat, Ahad lalu.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan Pertandingan Ayam Hutan (Tanding Berkokok) dan Pertandingan Dam Aji yang menarik penyertaan masyarakat setempat.

Dato' Wan Roslan turut berkesempatan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kedua-dua pertandingan berkenaan.

Menurutnya, penyertaan penduduk dalam aktiviti yang disediakan memperlihatkan peranan program kemasyarakatan sebagai medium untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada para pemenang serta penghargaan kepada penduduk, peniaga dan urus setia atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berharap ukhuwah dan semangat kebersamaan yang terjalin menerusi program seumpama itu dapat terus dipupuk bagi membina masyarakat yang harmoni, saling mengenali dan mengambil berat antara satu sama lain.

Beliau turut mendoakan agar setiap usaha yang dilaksanakan bagi mempererat hubungan masyarakat mendapat keberkatan Allah SWT.

Pautan berjaya disalin!