Darul Niswah digesa manfaat media sosial perluas pasaran produk - Dato' Rohani
-
26 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
27
KOTA DARULNAIM, 26 Ogos – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim menggesa Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Darul Niswah memanfaatkan platform media sosial secara lebih strategik bagi memperkenalkan hasil jahitan, sulaman, kraftangan serta pelbagai produk peserta kepada pasaran dan jaringan pelanggan yang lebih luas.
Beliau berkata, perkembangan pesat dunia digital menjadikan media sosial sebagai medium perkongsian maklumat dan instrumen penting dalam membina jenama, mempromosikan produk serta meningkatkan potensi pemasaran.
“Darul Niswah perlu memanfaatkan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp Business secara lebih strategik bagi memperkenalkan hasil jahitan, sulaman, kraftangan serta pelbagai produk yang diusahakan oleh peserta di setiap pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas merasmikan Bengkel GO Digital Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Darul Niswah Siri I Tahun 2026 di Dewan Seminar, Kompleks Kota Darulnaim, Isnin lalu.
Menurutnya, penguasaan platform digital penting bagi membolehkan produk peserta Darul Niswah menembusi pasaran yang lebih luas dan tidak hanya bergantung kepada kaedah pemasaran konvensional.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran bengkel berkenaan merupakan antara usaha meningkatkan kompetensi kepimpinan Darul Niswah agar lebih bersedia mendepani perubahan landskap pemasaran serta memanfaatkan peluang ekonomi dalam ekosistem digital.
Bengkel GO Digital Siri I menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Media Sosial Darul Niswah dari beberapa kawasan Dewan Negeri di Kelantan bagi meningkatkan kemahiran mengurus kandungan dan pemasaran menerusi media sosial secara lebih berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) atas inisiatif menganjurkan bengkel tersebut sebagai langkah mempertingkat keupayaan digital dalam kalangan kepimpinan Darul Niswah.
Beliau turut menghargai sumbangan kepakaran para konsultan daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berkongsi pengetahuan dan kemahiran berkaitan bidang digital sepanjang bengkel berkenaan.
Menurutnya, ilmu yang diperoleh diharapkan dapat diterjemahkan kepada pengurusan media sosial yang lebih sistematik, kreatif dan berorientasikan pemasaran, seterusnya membantu meningkatkan keterlihatan produk peserta Darul Niswah.
“Semoga Bengkel GO Digital PPWK (Darul Niswah) Siri I Tahun 2026 dapat mencapai objektif dalam meningkatkan kemahiran digital, memperkukuh strategi pemasaran serta melahirkan kepimpinan Darul Niswah yang lebih kompeten, kreatif dan berdaya saing,” jelasnya.










