Pantai Pachakan berpotensi jadi lokasi pembiakan semula penyu
-
26 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Jabatan Perikanan Kelantan
-
25
KOTA DARULNAIM, 26 Ogos - Pantai Pachakan Semerak, Pasir Puteh berpotensi menjadi lokasi pembiakan semula penyu seperti dahulu sekiranya habitat berkenaan dipelihara dengan baik.
Demikian kenyataan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam mengulas kepentingan usaha berkenaan bagi memastikan spesies penyu tidak pupus.
Katanya, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah mengadakan kempen kesedaran bagi memastikan habitat penyu terus dipelihara.
"Dulu, penyu yang hidup di Pulau Redang juga pernah mendarat di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh. Maka, kita perlu lakukan sesuatu agar spesies ini tidak pupus.
"Dengan perancangan yang baik, kita yakin Pantai Pachakan dan Tok Bali mampu menjadi lokasi pembiakan semula penyu seperti dahulu," katanya di media sosial, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 183 anak penyu dan telur ditemui di Pantai Pachakan, dengan 156 anak penyu berjaya dilepaskan semula ke laut bagi tujuan pemuliharaan.
Terdahulu, penemuan tersebut dilaporkan media selepas kemunculan ratusan anak penyu yang baru menetas di Pantai Pachakan menggemparkan penduduk kampung dan dipercayai menjadi rekod pertama dalam tempoh 30 tahun.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Ismail Ibrahim dilaporkan berkata, penemuan anak penyu spesies itu disedari penduduk kampung di sebuah kedai makan yang terletak kira-kira 20 meter dari gigi air pantai berkenaan.
Jabatan Perikanan Negeri Kelantan dilaporkan mengambil masa kira-kira satu jam dalam operasi menyelamat dan memulihara anak penyu berkenaan sebelum dilepaskan semula ke laut.
"Tahniah kepada Pejabat Perikanan Negeri Kelantan dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan ekosistem perairan kita kembali terpelihara," ujar Dato' Tuan Mohd Saripudin.












