Accessibility Tools

Skip to main content

SUKMA XXII: Kelantan raih 14 emas, catat peningkatan dua edisi berturut-turut

  • 25 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Exco
  • 32

KOTA DARULNAIM, 25 Ogos – Kontinjen Kelantan menamatkan cabaran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan meraih 14 pingat emas, enam perak dan 16 gangsa, sekali gus meneruskan peningkatan pencapaian selepas hanya memperoleh tiga emas pada 2022 dan tujuh emas pada edisi 2024.

Pencapaian 36 pingat keseluruhan itu meletakkan Kelantan di kedudukan ke-13 temasya.

Sehubungan itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, peningkatan jumlah pingat emas dalam tiga edisi berturut-turut menunjukkan perkembangan positif prestasi atlet negeri.

“Ini satu perkembangan yang wajar kita hargai,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Menurutnya, setiap edisi SUKMA perlu dijadikan medan untuk menilai pencapaian, mengenal pasti kekurangan serta merangka penambahbaikan sebagai persediaan menghadapi temasya akan datang.

“Di sebalik setiap pingat yang diperolehi ada atlet yang berlatih berulang kali, jurulatih yang terus membimbing, pegawai yang menguruskan pelbagai keperluan dan seluruh pasukan yang bekerja memastikan anak-anak Kelantan dapat memberikan yang terbaik,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh atlet Kelantan atas usaha dan keberanian membawa nama negeri di pentas SUKMA serta barisan jurulatih yang komited membimbing dan menambah baik prestasi atlet.

Penghargaan sama turut diberikan kepada pegawai, pengurus pasukan, barisan Majlis Sukan Negeri Kelantan, bapa angkat serta seluruh pasukan sokongan yang menjayakan gerak kerja kontinjen sepanjang temasya berlangsung.

“Tidak dilupakan juga seluruh rakyat Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa, terima kasih kerana terus bersama mereka.

“Tahniah dan syabas Kontinjen Kelantan,” ujarnya.

Dalam saingan edisi kali ini, tuan rumah Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Majlis perasmian SUKMA XXII Selangor 2026 disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam, malam tadi.

Pautan berjaya disalin!