Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan garis lima teras terjemah kecintaan kepada Rasulullah SAW

  • 25 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
  • 31

KOTA DARULNAIM, 25 Ogos — Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menggariskan lima perkara utama bagi menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. 

Lima perkara tersebut adalah meyakini Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, memperkasa kefahaman ilmu agama serta melazimi sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, dua lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengaktifkan gerak kerja dakwah di segenap lapangan secara berhikmah dan penuh kasih sayang serta mengukuhkan agenda perpaduan ummah berteraskan iman dan takwa kepada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat menjadikan Sambutan Maulidur Rasul 1448H sebagai momentum untuk menghayati sirah dan menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui amalan serta tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan bermasyarakat.

“Marilah sama-sama kita mainkan peranan membawa ummah ke jalan yang disinari cahaya hidayah Allah SWT melalui beberapa perkara,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H, hari ini.

Menurutnya, umat Islam perlu meyakini bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap dan menyeluruh serta memperkasa kefahaman terhadap ilmu agama supaya setiap amalan dilaksanakan berlandaskan ilmu dan petunjuk yang benar.

Pada masa sama, sunnah Rasulullah SAW perlu dilazimi dalam kehidupan seharian sebagai manifestasi kecintaan kepada Baginda, manakala gerak kerja dakwah hendaklah digerakkan dengan pendekatan berhikmah dan penuh kasih sayang.

Beliau turut menekankan kepentingan memperteguh perpaduan ummah berteraskan iman dan takwa sebagai antara asas kekuatan umat Islam dalam mendepani cabaran semasa.

Mengimbau hikmah kelahiran Rasulullah SAW, Dato' Mohd Nassuruddin menjelaskan, pengutusan Baginda sebagai rasul terakhir membawa sinar hidayah yang mengubah kehidupan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada kehidupan berteraskan akidah, akhlak dan hubungan sosial yang benar.

Katanya lagi, kelahiran junjungan besar itu merupakan anugerah Allah SWT yang membimbing manusia kembali kepada fitrah serta menjalani kehidupan selaras dengan kehendak-Nya.

“Allah SWT menurunkan kitab hidayah iaitu al-Quran sebagai manual yang menerangkan cara hidup yang disuluhi cahaya iman yang terang-benderang.

“Manakala Rasulullah SAW mengumpamakan diri Baginda seperti seorang lelaki yang menyalakan api untuk menerangi ummah ke jalan yang lurus,” ujarnya.

Menurutnya, kecaknaan Rasulullah SAW terhadap umat menggambarkan ketinggian kasih sayang Baginda, namun masih terdapat sebahagian manusia yang memilih menuruti hawa nafsu sehingga menjauhkan diri daripada petunjuk yang benar.

Justeru, beliau berharap setiap usaha dan inisiatif yang digerakkan bagi membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak terhenti pada sambutan atau penghayatan secara simbolik, sebaliknya diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam kehidupan individu dan masyarakat.

Tambahnya, penghayatan tersebut penting bagi membentuk cara hidup yang berpaksikan agama, berteraskan sunnah serta dipandu nilai Islam, sekali gus melahirkan ummah yang berilmu, berakhlak dan bersatu.

Pautan berjaya disalin!