60 peserta MGQ khatam al-Quran, 22 terima anugerah pada Majlis Hubbun Nabi
-
24 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
29
KOTA BHARU, 24 Ogos – Sebanyak 60 peserta program Membina Generasi Quran (MGQ) berjaya khatam al-Quran dengan bacaan mengikut tajwid dan makhraj yang betul sejak program itu dilaksanakan pada 2022, dengan 22 peserta menerima anugerah pada Majlis Hubbun Nabi SAW Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026, hari ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pencapaian tersebut membuktikan usaha memperkukuh penguasaan al-Quran dalam kalangan generasi muda menerusi program MGQ yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Menurutnya, program MGQ telah melaksanakan kelas al-Quran di 11 jajahan dengan melibatkan dua kategori peserta, iaitu kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan remaja berumur 13 hingga 17 tahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hubbun Nabi SAW Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.
“Alhamdulillah, sejak tahun 2022 sehingga kini, seramai 60 peserta telah berjaya khatam al-Quran dengan bacaan yang mengikut tajwid dan makhraj yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, YB Mohd Asri berkata seramai 22 peserta menerima anugerah pada majlis berkenaan, masing-masing 11 peserta daripada kategori kanak-kanak dan 11 peserta daripada kategori remaja.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) akan memperluaskan lagi program tersebut bagi meningkatkan jumlah peserta yang berjaya khatam al-Quran di seluruh jajahan.
“Insya-Allah, pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan akan memperbanyakkan lagi jumlah peserta yang berjaya khatam al-Quran melalui program MGQ di seluruh jajahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan dapat diperluaskan sehingga tidak ada seorang pun rakyat di Kelantan yang tidak boleh membaca al-Quran al-Karim.
“Harapan kita sangat besar agar tidak ada seorang pun rakyat di negeri Kelantan yang tidak boleh membaca al-Quran,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat dan pemimpin di setiap jajahan supaya bersama-sama memastikan masyarakat setempat tidak meninggalkan solat fardu lima waktu serta mempunyai keupayaan membaca al-Quran.
Menurutnya, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW perlu diterjemahkan melalui ketaatan dan ikutan terhadap segala yang disuruh oleh Baginda, bukan sekadar dizahirkan melalui sambutan atau ungkapan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim ingin menerapkan sunnah Nabi SAW dalam semua segmen kehidupan,” katanya.
Dalam aspek ibadah, beliau berkata kerajaan negeri mahu rakyat melengkapkan solat lima waktu serta mengerjakan solat sunat yang lain.
Di samping itu, beliau berkata tuntutan syariat berdasarkan al-Quran dan hadis turut perlu diterapkan dalam aspek muamalat, jual beli, jenayah dan kehidupan sosial masyarakat supaya selari dengan tuntutan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Sempena sambutan Hubbun Nabi SAW bagi tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026, beliau turut menyeru masyarakat memperbanyakkan program komuniti di seluruh tempat sepanjang bulan Rabiulawal bagi menyebarluaskan peringatan serta menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat bersama-sama memperkukuh usaha membina generasi yang dekat dengan al-Quran, menjaga solat dan menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian.










