978 peserta serlah bakat inovasi teknologi di Malaysia Techlympics
-
24 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
37
KOTA DARULNAIM, 24 Ogos - Seramai 978 peserta daripada 46 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Kelantan menyertai Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Pantai Timur 2.0 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, semalam.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Muhammad berkata, penyertaan itu membuktikan minat serta potensi besar generasi muda Kelantan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Beliau berkata, program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menjadi platform penting bagi membudayakan STI dalam kalangan murid, pelajar dan belia, selain mencungkil bakat serta mengetengahkan idea inovatif.
“Lebih membanggakan, program kali ini menghimpunkan 978 peserta daripada 46 sekolah dan IPT di Negeri Kelantan.
“Program ini menjadi platform penting dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan murid, pelajar dan belia, di samping mencungkil bakat serta mencetuskan idea-idea inovatif,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
YB Kamaruzaman berkata, penguasaan kemahiran berkaitan teknologi baharu amat penting bagi memastikan generasi muda mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Menurutnya, Malaysia Techlympics turut memberi ruang kepada peserta meneroka bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengaturcaraan (coding), dron dan teknologi digital yang semakin penting dalam kehidupan serta pembangunan masa hadapan.
Beliau berharap penganjuran program berkenaan dapat terus melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan bersedia mendepani cabaran teknologi pada masa akan datang.
“Semoga Malaysia Techlympics terus melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan bersedia mendepani cabaran teknologi masa hadapan, khususnya dalam bidang AI, coding, dron dan teknologi digital,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta, guru pembimbing serta seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Pantai Timur 2.0.










