Accessibility Tools

Skip to main content

Hubbun Nabi: Kerajaan Negeri seru rakyat terjemah cinta Rasulullah melalui amalan

  • 24 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 26

KOTA BHARU, 24 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru seluruh masyarakat supaya menjadikan sambutan Hubbun Nabi sebagai wadah menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui penghayatan ajaran Islam, amalan sunnah dan pembentukan akhlak dalam kehidupan seharian.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya terhenti pada ungkapan di bibir atau sambutan sempena Maulidur Rasul, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan, kepatuhan terhadap ajaran Baginda serta usaha menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada pelbagai kemelut masyarakat.

Menurutnya, Majlis Hubbun Nabi SAW perlu dijadikan ruang untuk memperkukuh kefahaman terhadap tujuan, mesej dan tuntutan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta menghayatinya dalam kehidupan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hubbun Nabi SAW Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.

“Marilah kita menjadikan sambutan Majlis Hubbun Nabi SAW sempena Maulidur Rasul SAW ini lebih berharga dengan masing-masing memainkan peranan untuk menonjolkan Islam sebagai penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW hendaklah disemai dengan kecintaan terhadap sunnah, ajaran dan risalah yang ditinggalkan Baginda kerana cinta kepada Rasulullah SAW merupakan cabang daripada cinta kepada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menggariskan lima perkara yang perlu diberi perhatian masyarakat dalam menjadikan sambutan tersebut lebih bermakna, iaitu memperkasakan ilmu khususnya ilmu agama, meyakini Islam sebagai cara hidup yang lengkap, mengaktifkan gerak kerja dakwah, mencontohi akhlak Rasulullah SAW serta menghindari perpecahan dan memperkukuh ukhuwah Islamiah.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Panglima Perang berkata, penguasaan ilmu agama penting bagi membolehkan masyarakat memahami dan mengamalkan Islam secara syumul serta tidak melihat agama hanya terbatas kepada aspek kerohanian dan akhlak.

Menurutnya, antara permasalahan utama umat pada masa kini ialah kejahilan terhadap agama walaupun sebahagian besar masyarakat mempunyai latar belakang pendidikan dan kecemerlangan akademik.

“Keadaan sebenar yang membelenggu umat hari ini ialah kejahilan tentang agama. Kita perlu memahami bahawa beragama bermaksud berserah diri, tunduk, patuh dan taat kepada segala perintah Allah dan Rasul, termasuk dalam soal bagaimana kita menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW membawa tugas menyampaikan hukum-hakam Allah SWT dan memberikan panduan kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan.

Justeru, katanya, masyarakat perlu memahami risalah Rasulullah SAW secara menyeluruh dan tidak menghadkan ajaran Baginda kepada ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, umrah dan haji sahaja.

Menurutnya, Islam merupakan cara hidup yang lengkap dan mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai kemelut yang berlaku dalam masyarakat termasuk yang berkaitan dengan akidah, ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat mengaktifkan gerak kerja dakwah dengan membawa mesej kebaikan serta mengingatkan umat supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bermula daripada institusi keluarga.

Selain itu, masyarakat perlu menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai contoh dalam kehidupan seharian sama ada sebagai individu, ahli keluarga mahupun anggota masyarakat.

Beliau turut mengingatkan supaya perpecahan dan perbalahan yang merugikan ummah dielakkan, sebaliknya ukhuwah Islamiah diperkukuh demi kebaikan bersama.

Menurutnya, perkara tersebut amat penting dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk keruntuhan akhlak, pengaruh pemikiran liberal dan sekular, krisis identiti anak muda serta pengaruh budaya asing yang semakin menular.

“Apabila hati umat melekat dengan Rasulullah SAW, mereka akan kembali kepada sunnah, menghormati ulama dan membina akhlak mulia yang menjadi rahmat buat seluruh alam,” katanya.

Sementara itu, YAB Dato’ Panglima Perang berkata, Rasulullah SAW hadir membawa risalah Islam yang menyelamatkan umat manusia daripada belenggu kejahilan dan kezaliman, selain meletakkan asas kehidupan yang hakiki serta membentuk masyarakat yang adil dan penuh kasih sayang.

Menurutnya, Baginda SAW merupakan contoh terunggul dalam setiap aspek kehidupan dengan memberikan panduan dan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi umat manusia.

Dalam konteks pembangunan negeri, beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan terus komited membina negeri berasaskan dasar dan pendekatan Islam menerusi dasar Membangun Bersama Islam.

Katanya, usaha membentuk masyarakat sejahtera berpandukan manhaj Rabbani terus digerakkan melalui pelbagai dasar, inisiatif dan program pembangunan insan yang bersepadu bagi melahirkan rakyat yang menjunjung tinggi perintah agama.

Beliau turut menjelaskan bahawa Majlis Hubbun Nabi SAW merupakan antara inisiatif sambutan di peringkat kerajaan yang menggambarkan manifestasi cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan menghayati kelahiran insan teragung yang membawa sinar hidayah kepada seluruh umat manusia.

Menurutnya, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh jajahan supaya objektif dan mesej yang dibawa dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas.

Justeru, beliau berharap sambutan Hubbun Nabi SAW tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya mampu menyemai dan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan meneladani Baginda dalam seluruh aspek kehidupan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa dengan kembali kepada ajaran Islam yang syumul dan mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW, ummah dapat bangkit daripada belenggu kejahilan dan keruntuhan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!