Program 'Subuh Serupo Jumaat' dekatkan anak muda dengan masjid
-
24 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
33
KOTA BHARU, 24 Ogos - Program Subuh Serupo Jumaat anjuran Kelab Pemilik Yamaha RX-Z Forever Legend di Masjid Jamek Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, pada Jumaat lepas, disifatkan sebagai usaha baik dalam mengajak golongan muda, dewasa dan kanak-kanak mendekati masjid serta majlis ilmu.
Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, berkata usaha berkenaan wajar dipuji dan hendaklah disokong oleh semua pihak.
“Program pagi ini adalah program yang sangat baik khususnya mengajak orang-orang muda, orang tua mari sekali budak-budak untuk dekatkan dengan masjid.
“Ini satu usaha yang patut dipuji. Kita orang tua kena puji orang muda buat program-program yang baik sebagai sokongan untuk mendekatkan anak muda dengan masjid dan majlis ilmu."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Subuh sempena program 'Subuh serupo Jumaat' di perkarangan Masjid Jamek Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, pada Jumaat.
Menurutnya, ilmu mempunyai nilai yang lebih besar kerana ia berperanan membimbing dan menjaga manusia, berbeza dengan harta yang perlu dijaga oleh manusia.
“Ilmu dia jaga manusia manakala harta manusia kena jaga dia. Ilmu dia tunjuk pada kita jalan yang baik, jalan yang lurus, tapi harta kita kena jaga dia.
“Sebab itu harta yang bernilai orang letak dalam peti, peti itu dikunci dan diletak dalam almari, almari pula dikunci dan diletak dalam bilik yang dikunci dalam rumah, rumah pula dikunci dan dipagar, pagar pula dikunci.
“Jadi untuk jaga harta berapa banyak kunci terpaksa digunakan dan masih tidak boleh dijamin harta itu selamat,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, ilmu dapat membimbing manusia supaya berada dalam keadaan selamat di dunia dan akhirat.
“Ilmu dia jaga kita supaya kita selamat dunia dan akhirat.
“Jadi usaha-usaha yang dibuat oleh mana-mana pihak sekalipun untuk mendekatkan anak muda dan masyarakat dengan masjid dan majlis-majlis ilmu hendaklah diberi sokongan yang padu.
“Insya-Allah, dengan ilmu anak-anak dan masyarakat akan jadi baik,” katanya.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhsari Muhamad, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, Imam Tua Masjid Jamek Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Muhamad Hafizi Ramli dan Pengerusi Kelab Pemilik Yamaha RX-Z, Azman Aziz Hashim.














