Accessibility Tools

Skip to main content

10 pelajar tahfiz YIK bawa nama Kelantan ke Korea Selatan

  • 24 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 31

KOTA DARULNAIM, 24 Ogos – Sejumlah 10 pelajar tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan melanjutkan pengajian ke Dongyang Mirae University, Korea Selatan, sekali gus membawa nama Kelantan ke pentas antarabangsa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, para pelajar berkenaan bukan sahaja membawa amanah untuk menuntut ilmu, malah perlu menjaga akhlak, adab dan imej Kelantan sepanjang berada di luar negara.

Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian di luar negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberikan tumpuan terhadap pengajian serta membina disiplin dan jati diri yang baik.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas menghadiri pertemuan bersama pelajar berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, semalam.

“Berada di luar negara bukan sekadar perjalanan menuntut ilmu, tetapi turut membawa amanah sebagai duta kecil negeri. Tunjukkan bahawa anak Kelantan mampu menyerlah dengan ilmu, disiplin, jati diri dan keperibadian yang baik di pentas antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, YB Dato’ Wan Roslan turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar sebagai tanda sokongan dan bekalan sebelum mereka memulakan perjalanan pengajian di Korea Selatan.

Menurutnya, para pelajar diharap dapat menjaga nama baik negeri dengan menunjukkan keupayaan anak Kelantan untuk menyerlah melalui ilmu dan keperibadian yang baik di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau turut mendoakan agar perjalanan mereka dipelihara Allah SWT serta segala urusan mereka dipermudahkan sepanjang berada di perantauan.

Pada masa sama, beliau berharap para pelajar berkenaan dapat kembali ke tanah air dengan membawa ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk dicurahkan kepada agama, masyarakat, negeri dan negara.

“Selamat maju jaya anak-anak Kelantan. Pergilah membawa nama negeri, pulanglah membawa ilmu dan bakti,” katanya.

Pautan berjaya disalin!