450 pelajar YIK terima Derma Siswa PURNAMA 2026
-
24 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
46
KOTA DARULNAIM, 24 Ogos — Sebanyak 450 pelajar terpilih daripada 45 buah sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima sumbangan Derma Siswa Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA) 2026 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM225,000.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, pada Majlis Penyampaian Derma Siswa PURNAMA 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, di sini, semalam.
Yang Dipertua PURNAMA, YABhg Datin Panglima Perang, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob, berkata penyampaian derma siswa berkenaan terus digalas dengan penuh komitmen oleh PURNAMA selaras aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan untuk melahirkan generasi pewaris pimpinan negeri yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Katanya, setiap pelajar menerima derma siswa berjumlah RM500 seorang.
“Daripada jumlah tersebut, RM200 akan diserahkan terus kepada pelajar pada majlis tersebut, manakala baki RM300 akan diamanahkan kepada pihak sekolah untuk menguruskan perbelanjaan yang berkaitan dengan keperluan pendidikan pelajar,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan.
Datin Wan Norhanita turut berpesan kepada penerima supaya memanfaatkan derma siswa yang diterima dengan sebaik-baiknya, khususnya bagi memenuhi keperluan pembelajaran.
Yang Dipertua PURNAMA, YABhg Datin Panglima Perang, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob
“Gunakanlah sumbangan ini secara berhemah dan elakkan pembaziran terhadap perkara yang tidak penting.
“Hal ini kerana dana tersebut bersumberkan wang zakat dan sumbangan peribadi penderma di samping sokongan daripada kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan negeri serta warga PURNAMA yang turut menjadi penaja bersama program ini,” katanya.
Beliau turut menyeru penerima derma siswa supaya terus bersemangat menimba ilmu dan mengejar kecemerlangan serta tidak menjadikan ujian dan kesukaran hidup sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita.
“Jangan sesekali membiarkan ujian serta kesukaran hidup menjadi penghalang kepada cita-cita, sebaliknya jadikanlah setiap cabaran itu sebagai pendorong untuk terus melangkah dan membina masa depan yang gemilang.
“Ramai insan telah membuktikan bahawa kejayaan tetap mampu diraih meskipun terpaksa menempuh pelbagai liku dan kesukaran dalam kehidupan,” katanya.
Tambah Datin Wan Norhanita, setiap ketentuan Allah SWT mengandungi hikmah dan kebaikan yang mungkin belum dapat difahami pada hari ini, namun akan tersingkap pada waktu terbaik menurut kehendak-Nya.
Beliau turut berharap penyampaian derma siswa itu dapat meringankan beban pelajar dan keluarga, khususnya dalam memenuhi keperluan pendidikan.
“Saya mengharapkan sumbangan ini akan dapat meringankan beban pelajar dan keluarga serta menjadi pembakar semangat kepada anak-anak pelajar untuk terus tekun menimba ilmu, mengembangkan potensi diri dan membina masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Mewakili PURNAMA, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, dokongan dan kepercayaan kepada PURNAMA untuk melaksanakan inisiatif kebajikan berkenaan.














