Wakaf RM296,180 perkasa Kampus Siswi Darul Quran MAIK, tampung 60 pelajar
-
23 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
71
TUMPAT, 23 Ogos - Sumbangan manfaat wakaf berjumlah RM296,180 daripada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) membantu memperkukuh penyediaan aset di Kampus Siswi Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Sungai Pinang, Tumpat.
Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Yang Dipertua MAIK berkata, pembangunan kampus baharu itu merupakan langkah strategik MAIK bagi memperluaskan peluang pendidikan tahfiz al-Quran dalam kalangan pelajar perempuan susulan peningkatan permintaan terhadap pendidikan tahfiz.
“Pembangunan kampus ini turut diperkukuh melalui sumbangan wakaf, termasuk wakaf tanah dan bangunan oleh Md. Rashid Mohammad serta sumbangan manfaat wakaf berjumlah RM296,180 daripada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi penyediaan aset Darul Quran MAIK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Darul Quran MAIK (Kampus Siswi) di Sungai Pinang, Tumpat, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan turut dihadiri Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.
Menurut YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam, Kampus Siswi yang mula diwujudkan pada 2023 itu telah melahirkan sembilan alumni daripada kohort pertama pada tahun ini.
Katanya, kampus baharu di Sungai Pinang, Tumpat, kini mampu menempatkan sehingga 60 pelajar berbanding kapasiti 30 pelajar di kampus terdahulu.
Kampus Siswi Darul Quran MAIK
“Penubuhan kampus baharu ini merupakan langkah strategik MAIK bagi memperluaskan peluang pendidikan tahfiz al-Quran dalam kalangan pelajar perempuan, susulan peningkatan permintaan terhadap pendidikan tahfiz dalam kalangan siswi,” ujarya.
Tengku Temenggong Kelantan berkata, Kampus Siswi Darul Quran MAIK turut diperkasa dengan penyediaan pelbagai kemudahan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Antara kemudahan disediakan termasuk bilik kuliah berhawa dingin, makmal komputer, perpustakaan mini, asrama, masjid serta kemudahan sokongan lain.
Beliau berkata, penyediaan prasarana tersebut selari dengan hasrat MAIK untuk melahirkan lebih ramai hafizah al-Quran yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Md. Rashid Mohammad atas sumbangan wakaf tanah dan bangunan bagi pembangunan kampus berkenaan serta ASNB atas sumbangan manfaat wakaf bagi penyediaan aset Darul Quran MAIK.
“Sesungguhnya segala sumbangan tersebut merupakan satu amal jariah yang insya-Allah akan terus mengalirkan pahala yang berpanjangan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan MAIK, Majlis Pendidikan MAIK, pengurusan dan warga kerja Darul Quran MAIK serta semua agensi kerajaan, pewakaf, pembayar zakat, penyumbang, pemimpin masyarakat dan pihak yang bersama-sama menyumbang idea, tenaga serta komitmen bagi merealisasikan pembangunan kampus tersebut.
Tengku Temenggong Kelantan berharap Kampus Siswi Darul Quran MAIK menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai hafizah al-Quran yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara, selain memperkukuh legasi pendidikan al-Quran di Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah.
Beliau turut berpesan kepada para pelajar siswi supaya memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menghafaz, memahami dan menghayati al-Quran serta membina sahsiah unggul.
“Ingatlah, kemuliaan seorang hafizah bukan hanya pada banyaknya hafazan, tetapi pada sejauh mana al-Quran diterjemahkan dalam akhlak, adab, amanah dan khidmat kepada masyarakat,” ujarnya.












