Accessibility Tools

Skip to main content

Pelajar dinasihat fokus pengajian, manfaat bantuan disediakan - MB

  • 23 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 46

KOTA DARULNAIM  23 Ogos - Para pelajar diingatkan supaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan tidak menjadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk tidak belajar bersungguh-sungguh.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelbagai bentuk bantuan disediakan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan badan berkaitan bagi membantu pelajar meneruskan pengajian.

“Anak-anak pelajar tidak perlu memikirkan benda lain, hanya perlu fikirkan tentang belajar. Pakaian dan makanan ibu bapa sudah sediakan.

“Untuk yuran pengajian, kita ada kerajaan negeri, kita ada agensi kerajaan, kita ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Derma Siswa Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Kelantan (PURNAMA) 2026 kepada 450 pelajar terpilih, di Dewan Tok Guru Bentara, Setia, di sini hari ini.

Katanya, antara bantuan yang tersedia termasuk daripada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), PURNAMA dan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tegas beliau, peluang untuk menimba ilmu tidak datang sepanjang masa dan pelajar perlu memanfaatkan usia muda dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Ruang dan peluang yang ada ini bukannya tiba sepanjang masa dalam hidup kita. Masa berlalu terlalu cepat. Jadi gunakanlah peluang dan ruang yang ada serta usia muda untuk menimba ilmu," katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak menunggu sehingga hampir peperiksaan tiba untuk membuat persiapan, sebaliknya membiasakan diri membaca dan mengulang kaji sejak awal.

“Belajarlah ketika waktu lapang dan jangan tunggu waktu sibuk. Janganlah dalam keadaan kita dekat menghadapi peperiksaan baru nak buat persiapan, barulah nak baca buku," ujarnya.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar menyeru pelajar supaya tidak berputus asa dalam menuntut ilmu, khususnya mereka yang datang daripada keluarga susah atau kehilangan ibu bapa.

Katanya, ramai pemimpin dan ulama hebat dilahirkan daripada golongan anak yatim serta keluarga kurang berkemampuan.

“Di antaranya Imam As-Syafie adalah anak yatim tetapi ilmu beliau bermanfaat di seluruh dunia sampai hari kiamat.

“Jadi kalau ada dalam kalangan anak-anak pelajar hari ini anak yatim dan susah, jangan lemah semangat,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah Imam As-Syafie yang menurutnya belajar dengan Imam Malik dalam keadaan serba kekurangan, tidak mempunyai kertas dan pen.

Hadir sama Yang Dipertua PURNAMA, Datin Panglima Perang, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim, Ahli-ahli PURNAMA dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar.

Pautan berjaya disalin!