Empat usahawan wanita Kelantan wakili Malaysia ke Ekspo ASEAN di Korea
-
23 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
49
KOTA DARULNAIM, 23 Ogos - Empat usahawan wanita Kelantan terpilih mewakili Malaysia ke peringkat ASEAN menerusi penyertaan dalam ASEAN Women MSMEs Acceleration Expo di Seoul, Republik Korea pada 25 hingga 26 Ogos ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, empat usahawan berkenaan ialah Wan Habsah Wan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Chef Ustazah, Siti Rahayu Ahmad, Nor Azura Abdullah dan Anis Ayuni Mohammed.
“Tahniah kepada Ustazah Wan Habsah Wan Ahmad, usahawan pelbagai produk makanan jenama Chef Ustazah, Puan Siti Rahayu Ahmad, usahawan Maruku, Puan Nor Azura Abdullah, usahawan The Batik Craft dan Puan Anis Ayuni Mohammed, usahawan Kuaci Ketawa,” katanya menerusi laman rasmi pada Khamis.
Menurut Dato’ Rohani, Chef Ustazah merupakan penerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah al-Khuwailid sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021, manakala Nor Azura menerima Anugerah Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan pada 2025 sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan.
Katanya, pemilihan empat usahawan berkenaan merupakan pencapaian membanggakan selepas mereka berjaya dipilih daripada 242 usahawan wanita Malaysia yang mengikuti IDEAS Project Malaysia sejak 2022.
“IDEAS Project Malaysia ialah sebuah inisiatif pembangunan sosial yang memberi fokus kepada pemberdayaan komuniti melalui latihan, sokongan dan peluang keusahawanan di bawah kelolaan KUSKOP dan UMK sebagai penyelaras projek bersama pelbagai agensi pelaksana yang lain,” ujarnya.
Tambahnya, penyertaan di Seoul itu akan memberi peluang kepada usahawan terbabit membawa produk masing-masing ke pasaran lebih luas, sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, ekspo tersebut merupakan acara utama di bawah program Enhancing Digital Economy Participation for ASEAN Women MSMEs (IDEAS Project) yang dibiayai menerusi ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF).
“Saya mendoakan semua usahawan wanita hebat ini akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan membawa jenama dan produk masing-masing, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Kelantan khususnya.
“Anda semua telah buktikan perniagaan patuh syariah dan produk tempatan juga mampu melangkah ke pasaran dunia,” katanya.







