Accessibility Tools

Skip to main content

Karnival Cakna Rakyat DUN Panchor meriah

  • 23 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 38

KOTA BHARU, 23 Ogos — Program Karnival Cakna Rakyat Dewan Negeri (DUN) Panchor yang dianjurkan semalam berlangsung meriah selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panchor yang juga Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato' Seri Amar Diraja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah, berkata Karnival Cakna Rakyat merupakan program tahunan kerajaan negeri yang dilaksanakan di semua 45 DUN di Kelantan.

Katanya, kebanyakan DUN sudah melaksanakan program berkenaan, manakala Panchor mungkin antara DUN terakhir menganjurkannya berikutan pertembungan dengan program lebih besar.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak urusetia yang telah berusaha bertungkus-lumus merancang dan menyusun program dan alhamdulillah, program berjalan dengan baik.

"Daripada pagi tadi kita tengok kehadiran, alhamdulillah ramai."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Cakna Rakyat DUN Panchor, di Taman Teluk Puteri, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Menurut beliau, agensi yang menyertai program tersebut turut berpuas hati dengan sambutan orang ramai, termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memaklumkan ramai pengunjung hadir ke reruainya untuk mendengar taklimat dan penerangan daripada pegawai bertugas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyertai pelbagai acara yang diadakan sepanjang program berkenaan seperti sukaneka, permainan tradisional dan sebagainya yang melibatkan kanak-kanak serta golongan dewasa.

"Terutama yang terakhir sekali acara tarik tali. Mujur tak putus tali, ambo bimbang putus tali sebab yang tarik tali tadi 'tok bomoh belako'," katanya berseloroh.

YB Dato' Mohd Amar turut menghargai penglibatan agensi kerajaan yang hadir walaupun program berlangsung pada Sabtu, iaitu hari cuti umum bagi Negeri Kelantan.

Katanya, antara agensi yang hadir ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kelantan Gold Trade (KGT) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan lain-lain.

Ujarnya, kehadiran agensi berkenaan memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan dan menyelesaikan pelbagai urusan di lokasi program tanpa perlu hadir sendiri ke pejabat agensi terbabit.

"Kalau kita ambil peluang dengan kehadiran agensi-agensi tersebut tadi, kita boleh selesaikan banyak benda yang mungkin kalau kita nak pergi ke pejabat mereka agak susah.

"Kita nak pergi sendiri bukan senang, tambahan pula dari segi tempat letak kenderaan dan sebagainya pun susah.

"Jadi bila mereka hadir ke tempat program kita, maka kita ada peluang untuk bersama-sama menyelesaikan banyak benda," katanya.

Pautan berjaya disalin!