Makanan tradisi antara tarikan pelancongan Tumpat – Dato’ Mumtaz
-
23 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
32
TUMPAT, 23 Ogos - Kepelbagaian makanan tradisi dan produk tempatan menjadi antara keunikan yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan di Tumpat.
Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, Tumpat bukan sahaja mempunyai pelbagai destinasi unik, malah terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisional yang mempunyai identiti tersendiri.
Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Limau Nipis, Terengganu, yang diketuai Pengerusi JPKK, Mohamad Mustafa, di Restoran Warisan Rasa, Wakaf Bharu, semalam.
Rombongan seramai 60 orang itu mengadakan kunjungan ke Tumpat bagi mengenali dengan lebih dekat keunikan daerah berkenaan selain mengeratkan hubungan antara komuniti.
“Di Tumpat ini banyak tempat atau destinasi unik yang tuan-tuan dan puan-puan boleh lihat, termasuk masjid tertua iaitu Masjid Kampung Laut dan Masjid Kubang Batang yang cantik.
“Di daerah Tumpat ini juga ada Suluk Tok Selehor, tempat wali yang berada di bawah tanah dan mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.
Menurut Dato’ Mumtaz, Tumpat turut mempunyai kepelbagaian warisan dan rumah ibadat yang menggambarkan kemajmukan masyarakat setempat, termasuk kira-kira sembilan kuil Buddha yang mempunyai sejarah ratusan tahun.
Katanya, terdapat juga gereja Kristian di Wakaf Bharu serta kuil Hindu di Bandar Tumpat, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian masyarakat yang hidup bersama di daerah berkenaan.
“Penduduk Tumpat lebih kurang 200,000 orang dan masyarakatnya sangat majmuk. Ramai masyarakat Cina, Siam dan India juga ada di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kedudukan Tumpat sebagai daerah di sempadan Thailand turut memberikan keistimewaan dari sudut pelancongan dan ekonomi setempat.
Beliau berkata, pengunjung juga boleh meneroka kawasan Pengkalan Kubor serta pelbagai destinasi lain yang terdapat di sekitar Tumpat.
Dari aspek makanan, Dato’ Mumtaz berkata Tumpat mempunyai pelbagai produk tradisional yang boleh menjadi tarikan kepada pengunjung termasuk keropok lekor Kelantan, ikan bekok, serunding dan budu.
“Keropok lekor Kelantan pun dibuat di Tumpat. Tumpat juga terkenal dengan ikan bekok, serunding dan budu. Minyak Mestika pun orang Tumpat buat,” katanya.
Beliau berkata, Tumpat juga berpotensi diketengahkan sebagai kawasan pelancongan gastronomi (gastrotourism) berikutan kepelbagaian makanan tempatan yang boleh dinikmati pengunjung.
Katanya, selain nasi kerabu yang sememangnya terkenal, hidangan dan produk seperti serati serta belut turut menjadi antara makanan yang boleh diperkenalkan kepada pelawat.
“Di sini memang terkenal dengan makanan dan banyak yang viral seperti nasi kerabu. Kawasan ini juga boleh menjadi kawasan gastrotourism kerana kita mempunyai pelbagai makanan dan produk yang unik,” katanya.
Dato’ Mumtaz turut mengalu-alukan kedatangan rombongan JPKK Kampung Padang Limau Nipis ke Tumpat dan berharap kunjungan berkenaan dapat menjadi ruang untuk kedua-dua komuniti saling mengenali dan berkongsi pengalaman.
“Ahlan wasahlan kepada rombongan dari Kampung Padang Limau Nipis ke Tumpat. Semoga kunjungan ini dapat merapatkan hubungan dan memberi peluang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk belajar serta mengenali lebih dekat daerah Tumpat.
“Kita mempunyai pelbagai keunikan yang ada di Tumpat dan saya harap semuanya dapat menikmati kunjungan serta makanan yang ada di sini,” ujarnya.







