Dua pensyarah Ez-Zitouna bimbing pelajar Kelantan, Terengganu kuasai Bahasa Arab
-
23 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
45
KOTA DARULNAIM , 23 Ogos – Dua pensyarah Universiti Ez-Zitouna, Republik Tunisia menyumbang selama dua bulan membimbing pelajar dari Kelantan dan Terengganu membuat persediaan penguasaan Bahasa Arab sebelum melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, khidmat kedua-dua pensyarah berkenaan merupakan sumbangan penting dalam memastikan para pelajar mempunyai persediaan Bahasa Arab yang lebih baik sebelum meneruskan pengajian di Tunisia.
Menurutnya, kedua-dua pensyarah tersebut berada di Kelantan selama dua bulan bagi menjayakan Kursus Persediaan Bahasa Arab untuk para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Ez-Zitouna.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua pensyarah berkenaan pada 20 Ogos lalu.
YB Dato’ Wan Roslan berkata, persediaan Bahasa Arab amat penting bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan keperluan pengajian apabila mereka meneruskan pendidikan di Universiti Ez-Zitouna.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua pensyarah berkenaan atas segala ilmu, bimbingan serta kesungguhan yang dicurahkan kepada para pelajar sepanjang berada di negeri ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua pensyarah atas segala ilmu, bimbingan dan kesungguhan yang dicurahkan kepada para pelajar sepanjang berada di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap segala usaha dan sumbangan ilmu yang diberikan sepanjang tempoh tersebut menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Pada masa sama, hubungan pendidikan antara Kelantan dan Universiti Ez-Zitouna diharap terus diperkukuhkan bagi menyokong usaha melahirkan generasi ilmuwan yang berilmu, beradab dan mampu memberi manfaat kepada ummah.
Menurutnya, penglibatan pensyarah dari Universiti Ez-Zitouna dalam program persediaan tersebut turut memperlihatkan hubungan pendidikan yang memberi ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman antara kedua-dua pihak.
Kerjasama berkenaan sekali gus memberi nilai tambah kepada persediaan para pelajar dari Kelantan dan Terengganu sebelum mereka melangkah ke alam pengajian di Universiti Ez-Zitouna, Republik Tunisia.







