MAIK lancar Sistem e-COMEL bantu kesan awal perkembangan kanak-kanak
-
23 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
87
KOTA BHARU, 23 Ogos - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan Sistem e-COMEL (Centre for Observation Monitoring and Early Intervention Learning), iaitu sistem berteraskan web-based bagi mengumpulkan data dan maklumat ibu bapa serta anak-anak untuk membantu pengesanan awal kanak-kanak yang memerlukan rujukan lanjut bagi rawatan.
Majlis pelancaran sistem tersebut disempurnakan Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, bersempena perasmian Program Kesedaran Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensi Awal Perkembangan Anak (0-6 Tahun) di Dewan Utama, Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini semalam.
YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam berkata, sistem berkenaan mempunyai modul pengesanan melalui soalan yang akan menjana keputusan dan skor bagi menilai tahap perkembangan kanak-kanak.
Katanya, sistem itu antara yang terawal seumpamanya di Malaysia bagi tujuan pengesanan awal kanak-kanak.
"Pengesanan ini adalah diagnosis awal sebelum dirujuk untuk dibuat pengesanan secara klinikal oleh pegawai perubatan," katanya pada majlis tersebut.
Jelas beliau, pembangunan sistem berkenaan turut memasukkan modul e-learning untuk ibu bapa mendapatkan panduan bagi membantu meningkatkan keupayaan anak-anak autisme, khususnya dalam merangsang perkembangan pembelajaran mereka.
"Saya difahamkan sistem ini akan boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat dan akan memberikan impak yang sangat positif dalam usaha mengesan kanak-kanak yang ada gejala autisme yang memerlukan intervensi.
"Syabas dan tahniah atas usaha pembangunan sistem ini," katanya.
Sebagai rekod, e-COMEL merupakan sistem saringan awal yang memperkasakan ibu bapa untuk menilai pencapaian tumbesaran anak berdasarkan umur secara maya dari rumah pada bila-bila masa dan boleh digunakan secara percuma.
Pengguna tidak perlu mendaftarkan akaun, sebaliknya hanya perlu mengisi maklumat ringkas berkaitan anak dan menjawab beberapa soalan saringan.
Hasil saringan akan menunjukkan tahap perkembangan anak, namun keputusan yang diperoleh bukan diagnosis perubatan, sebaliknya panduan awal bagi menentukan tindakan seterusnya.







