ANMS 2030 sasar masyarakat sihat fizikal, sejahtera mental dan kukuh sosial - YB Hilmi
-
23 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
40
KOTA DARULNAIM, 23 Ogos – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) perlu diterjemahkan melalui perubahan gaya hidup masyarakat bagi membentuk rakyat yang bukan sahaja sihat dari sudut fizikal, malah sejahtera mental dan kukuh dari aspek sosial menjelang 2030.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, kesihatan tidak seharusnya dilihat sekadar bebas penyakit, sebaliknya merangkumi kecergasan tubuh, ketenangan fikiran, kestabilan emosi, keharmonian keluarga serta hubungan sosial yang baik.
Menurutnya, usaha membudayakan kehidupan sihat perlu bermula daripada diri sendiri dan keluarga dengan mengamalkan gaya hidup lebih aktif serta menjaga pemakanan dan kesihatan secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Larian Obor Harapan Kesihatan Mental dan Kempen Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Kuala Krai 2026 di Padang Awam Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil (SKBG), pada 20 Ogos lalu.
Pada masa sama YB Hilmi menyeru masyarakat meningkatkan aktiviti fizikal seperti berjalan dan bersenam, selain mengurangkan pengambilan gula, garam serta makanan secara berlebihan.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan tidur yang mencukupi, menjauhi rokok dan vape serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai sebahagian daripada amalan hidup sihat.
Dalam pada itu, aspek kesihatan mental turut diberikan perhatian menerusi Larian Obor Harapan Kesihatan Mental yang membawa mesej supaya individu berdepan tekanan emosi dan masalah kesihatan mental diberikan sokongan serta didengari, bukannya dihukum atau distigmakan.
Menurutnya, Larian Obor Harapan Kesihatan Mental yang sebelum ini dilepaskan olehnya di AEON Mall Lembah Sireh, kini singgah di Kuala Krai sebelum meneruskan perjalanan ke Pasir Mas dan destinasi terakhir di Bachok pada 2 September 2026.
“Semoga Larian Obor Harapan ini berjaya mengubah stigma terhadap kesihatan mental dalam masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, literasi kesihatan penting bagi memperkasakan masyarakat dengan ilmu supaya mereka mampu mendapatkan maklumat kesihatan yang betul, memahami risiko penyakit serta membuat keputusan tepat untuk diri dan keluarga.
Justeru, beliau berharap penglibatan masyarakat dalam program berkenaan tidak terhenti selepas program selesai, sebaliknya menjadi titik mula kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat dalam kehidupan seharian.
“Kurangkan duduk, banyakkan bergerak. Kurangkan gula, lebihkan air kosong. Jaga tubuh, jaga emosi. Sihat diri, sejahtera keluarga, kuat komuniti,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi ANMS 2030 memerlukan kerjasama kerajaan, petugas kesihatan, sekolah, komuniti dan seluruh rakyat bagi membentuk masyarakat yang sihat secara menyeluruh.
Program berkenaan menghimpunkan tiga inisiatif serentak dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pelajar sekolah, kakitangan kerajaan dan swasta, ahli keluarga, komuniti setempat serta warga kesihatan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk senamrobik, fun walk kemerdekaan, kuiz kesihatan, permainan tradisional dan pameran kesihatan.
YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai, semua agensi, rakan strategik, guru, peserta serta warga Kuala Krai yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.







