MB seru masyarakat Islam baca al-Quran bertajwid
-
20 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
42
KOTA BHARU, 20 Ogos - Masyarakat Islam khususnya para asatizah dan imam diseru memberi penekanan terhadap pembacaan al-Quran secara bertajwid selaras dengan tuntutan Allah SWT supaya kitab suci itu dibaca secara tartil.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, membaca al-Quran secara tartil bukan sahaja memperelokkan bacaan bahkan dapat membantu seseorang memahami dan mentadabbur isi kandungannya.
Beliau memetik tafsiran Imam Ibnu Kathir terhadap ayat berkaitan tartil yang bermaksud membaca al-Quran secara perlahan-lahan kerana ia membantu memahami dan mentadabbur al-Quran.
Katanya, Imam al-Jazari turut menegaskan kewajipan mengambil berat ilmu tajwid menerusi matannya yang terkenal, al-Muqaddimah al-Jazariyyah.
“Dan mengambil (membaca) dengan tajwid adalah wajib, barangsiapa yang tidak memperelokkan al-Quran (bacaannya) maka dia berdosa."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Daurah Antarabangsa Al-Quran dan Qiraat bersama Sheikh Prof. Dr. Ahmed Isa al-Ma'sarawi, di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.
Tambah Menteri Besar Kelantan, Ibnul Jazari turut memasukkan tafsiran Sayyidina Ali Karamallahu Wajhah berkaitan maksud tartil dalam kitab al-Tamhid fi al-Tajwid, iaitu memperelokkan sebutan huruf serta mengetahui tempat waqaf dan ibtida’.
Justeru, katanya, pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi pendekatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan bukan hanya memastikan aspek tadbir urus selari dengan kehendak agama, tetapi turut memberi perhatian terhadap penguasaan asas tajwid.
“Inilah keistimewaan rakyat Negeri Kelantan. Dalam banyak-banyak perkara orang mengenali keistimewaan kita, pastikan kita juga dikenali dengan rakyatnya yang membaca al-Quran dengan baik, sempurna hukum tajwidnya dan menepati makhraj huruf,” jelasnya.
Menurutnya lagi, peranan berkenaan perlu digalas semua pihak, terutama guru-guru al-Quran yang diselia di bawah kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan turut menubuhkan Pusat Tarannum Al-Quran di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi mengukuhkan ilmu tarannum atau al-maqamat.
Katanya, pusat berkenaan diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkaliber di peringkat antarabangsa, selain menawarkan kursus tahsin bacaan, tajwid serta pengajian talaqqi bersanad.
“Platform pun sudah disediakan dengan tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran.
“Tinggal lagi kemahuan, kesedaran dan kesungguhan untuk memanfaatkan Pusat Tarannum Al-Quran. Jika peluang ini direbut sebaik mungkin, In sha Allah kita akan melihat hasilnya pada suatu hari nanti,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Daurah Al-Quran yang berlangsung bermula hari ini, YAB Menteri Besar berkata, program Daurah tersebut memberi tumpuan kepada ilmu tajwid berpandukan Syarah Matan Tuhfatul Atfal di bawah bimbingan Sheikh Prof. Dr. Ahmed Isa al-Ma'sarawi seorang tokoh al-Quran yang amat disegani.
Beliau menjelaskan lebih lanjut, dalam setiap cabang ilmu terdapat matan-matan asas yang kemudiannya dihuraikan dan disyarahkan ulama sehingga berkembang kepada peringkat syarah matan, hasyiah dan tahqiq.
“Matan Tuhfatul Atfal dalam ilmu Tajwid al-Quran merupakan asas sebelum meneroka dan mendalami dengan lebih mendalam dalam perbahasan tajwid dan juga makhraj huruf,” katanya.
Hadir sama, Mantan Menteri Besar YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Tuan Zawawi Ghazali, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Setanta YB Mohd Asri Mat Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Sahibul Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Mohamad Shukri Mohamad, Profesor Hadis Universiti Al-Azhar, Mesir Professor Dr. Ahmed Isa Al-Ma’sarawi dan Timbalan Ketua Pewakilan Kedutaan Negara Qatar Ibrahim Abdullah Al-Sheraim dan Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Quran Bandaraya Islam Kota Bharu YB Dato' Abdul Fattah Mahmood.







