Accessibility Tools

Skip to main content

Che Embong Che Mud dinobat Tokoh Hari Sayyidatina Khadijah DUN Kijang 2026

Oleh:Asri Hamat
Kredit foto: Media Dato' Izani

KOTA DARULNAIM, 19 Julai- Che Embong binti Che Mud atau lebih dikenali sebagai Kak Ni Tikat dinobatkan sebagai Tokoh Hari Sayyidatina Khadijah DUN Kijang 2026 pada sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) DUN Kijang yang berlangsung di Pusat Rekreasi Pulau Kundur pada Sabtu.

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan beliau sebagai usahawan, pengusaha tenunan songket tradisional Kelantan, pendidik generasi muda serta komitmen berterusan dalam khidmat kemasyarakatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Dr Izani Husin berkata, ketokohan Che Embong bukan sahaja terserlah melalui kejayaan dalam bidang keusahawanan, malah melalui kesungguhan beliau memelihara warisan, mendidik generasi muda serta istiqamah berbakti kepada masyarakat.

"Inilah simbol wanita Kelantan, meskipun sibuk dengan perniagaan namun tidak pernah lupa tanggungjawab kepada masyarakat," katanya dalam satu hantaran di media sosial miliknya pada Sabtu.

Katanya lagi, Che Embong merupakan antara lapisan terakhir pengusaha tenunan songket tradisional Kelantan yang masih gigih mempertahankan seni warisan Melayu yang tidak ternilai harganya.

"Beliau mula mempelajari seni menenun sejak usia kecil daripada arwah ibunya. Perusahaan yang bermula di sebuah rumah sederhana itu turut dibantu suaminya yang menghasilkan sendiri peralatan tenunan daripada kayu sebelum berkembang sehingga mendapat pengiktirafan yang membanggakan,” ujarnya.

Kata YB Dato' Dr Izani lagi, hasil tenunan songket Che Embong  bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat umum, malah menghiasi pelbagai majlis rasmi di Istana Kelantan serta menjadi pilihan kerabat diraja dan orang kenamaan dari seluruh negara.

Atas semangat itu, beliau aktif melatih golongan muda dalam bidang tenunan songket menerusi program yang dijalankan di bawah persatuan dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (U-KEKWA) bagi memastikan seni warisan itu terus lestari untuk generasi akan datang.

Tambahnya lagi, selain bergiat aktif dalam perusahaan tenunan songket, Che Embong turut dikenali sebagai usahawan Martabak Raja.

"Martabak hasil air tangan beliau menjadi hidangan pilihan di Istana Negara, Istana Kelantan serta istana di Perak, Selangor dan Pahang. Keistimewaan Martabak Raja itu turut menembusi pasaran antarabangsa apabila dibawa ke Singapura, Dubai, Jepun dan China,"jelasnya.

Selain aktif dalam bidang keusahawanan, Che Embong juga sentiasa komited dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta perjuangan Islam.

Pautan berjaya disalin!