Hakisan ancam bekas tapak pelupusan Teluk Kitang, kajian segera diarahkan elak pencemaran pantai - Exco Alam Sekitar
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 16 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan mengarahkan kajian segera dilaksanakan bagi menangani masalah hakisan yang berlaku di bekas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Teluk Kitang, Tok Lukut di Pengkalan Chepa bagi mengelakkan risiko pencemaran terhadap kawasan pantai sekitar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, arahan itu dikeluarkan selepas beliau turun padang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MBKB-BRI) serta Imam Masjid Tebing Tinggi untuk meninjau keadaan lokasi tersebut, semalam.
Menurutnya, hasil tinjauan mendapati bahagian penghujung lot tapak pelupusan berkenaan sedang mengalami hakisan dan memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada alam sekitar.
Beliau berkata demikian menerusi media rasminya, hari ini.
Tambahnya, beliau telah mengarahkan MBKB-BRI dan JAS menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti langkah mitigasi yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.
“Saya telah mengarahkan MBKB-BRI dan JAS membuat kajian segera bagi mengatasi masalah ini supaya dapat mengelakkan pencemaran kepada kawasan pantai sekitar,” katanya.
YB Hilmi memaklumkan, Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Teluk Kitang seluas lebih 67 ekar merupakan antara tapak pelupusan sampah terbuka paling lama digunakan oleh kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam sebelum operasinya dihentikan pada tahun 2006 dan dipindahkan ke Kampung Beris Lalang, Bachok.
Katanya lagi, ketika masih beroperasi, tapak tersebut dianggarkan menerima sekitar 300 tan metrik sampah sehari dan memainkan peranan penting dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan Kota Bharu.
Beliau menjelaskan, antara faktor utama penutupan tapak pelupusan itu ialah pembinaan taman-taman perumahan yang semakin hampir dengan kawasan berkenaan sehingga pergerakan lori sampah keluar masuk menjejaskan kelancaran lalu lintas.
Selain itu, kedudukan tapak yang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra turut meningkatkan risiko perlanggaran burung (bird strike) terhadap pesawat serta risiko gangguan operasi penerbangan sekiranya berlaku kebakaran dan menghasilkan asap tebal.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan di kawasan tersebut bagi memastikan langkah pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara berkesan demi menjaga keselamatan alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat.











