JKR Kelantan kenal pasti jalan untuk dinaik taraf, harap perhatian Kerajaan Persekutuan
Oleh: Asri Hamat
Foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengenal pasti beberapa jajaran jalan raya yang wajar diberikan keutamaan untuk dinaik taraf bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kesalinghubungan rangkaian jalan di negeri itu.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar berkata, kerajaan negeri berharap keperluan projek berkenaan dapat dipertimbangkan serta diberikan perhatian di peringkat Kerajaan Persekutuan demi manfaat seluruh rakyat Kelantan.
"Insya Allah, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan dalam memastikan agenda pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya menerusi media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau mengalu-alukan kehadiran Menteri Kerja Raya YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama warga Kementerian Kerja Raya (KKR) ke Kelantan sempena lawatan kerja rasmi.
Menurutnya, lawatan kerja menteri itu bertujuan meninjau kemajuan projek menaik taraf Jalan Pasir Hor–Panchor, selain melihat sendiri keadaan kawasan yang terjejas akibat kejadian 'sinkhole' di Lojing.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan komitmen Menteri Kerja Raya terhadap keperluan pembangunan infrastruktur di Kelantan.
Tambahnya, kehadiran menteri itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan isu-isu yang dihadapi rakyat diberikan perhatian sewajarnya.










