Accessibility Tools

Skip to main content

Program Muay Thai erat hubungan Kelantan-Thailand

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 19 Julai – Hubungan antara Kelantan dan Thailand terus diperkukuh menerusi diplomasi sukan apabila penganjuran program "Muay Thai Workshop and Thailand–Malaysia Friendship Matches" menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam pembangunan belia, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, sukan Muay Thai bukan sekadar menjadi platform persaingan fizikal, malah mampu menyatukan masyarakat serta membina persefahaman rentas sempadan, khususnya melibatkan generasi muda Kelantan dan Thailand.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan membuktikan bahawa sukan mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, sebaliknya menjadi wadah memperkukuhkan nilai persahabatan, persefahaman dan kerjasama antara dua negara berjiran.

Beliau berkata demikian dalam media rasminya semalam selepas merasmikan program “Muay Thai Workshop and Thailand–Malaysia Friendship Matches” yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu.

Turut hadir ialah Konsulat Jeneral Diraja Thailand, Phasit Chudabuddhi serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria.

Mengulas lanjut, YB Zamakhshari berkata penyertaan pelbagai pihak dalam program tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan sukan sebagai instrumen memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.

Tambahnya, interaksi yang terjalin sepanjang program bukan sahaja memberi ruang kepada peserta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam seni bela diri Muay Thai, malah membuka peluang untuk memperluaskan jaringan persahabatan serta memupuk semangat saling menghormati antara masyarakat kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau berharap hubungan erat yang sedia terjalin akan terus diperkasakan melalui lebih banyak program kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pembangunan belia, kesukanan dan pembangunan komuniti yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Konsulat Jeneral Diraja Thailand, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta agensi dan organisasi sukan yang terlibat atas jemputan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program tersebut.

Katanya, kerjasama strategik seumpama itu diharap akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Kelantan dan Thailand, sekali gus memperluaskan peluang kolaborasi dalam pembangunan belia serta industri sukan pada masa akan datang.

Pautan berjaya disalin!