RUU Profesion Kerja Sosial perlu lindungi sukarelawan, bukan jenayahkan mereka – YB Abdul Latiff
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 perlu diperhalusi supaya dapat memartabatkan profesion kerja sosial tanpa menjejaskan peranan ribuan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini menjadi tulang belakang kepada usaha kebajikan masyarakat.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, meskipun RUU tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan profesion kerja sosial melalui penetapan piawaian, akauntabiliti dan kod etika profesional, beberapa peruntukan masih memerlukan penambahbaikan.
Menurutnya, antara perkara yang paling membimbangkan ialah Fasal 31 dan Fasal 32 yang berpotensi menjadikan individu yang menjalankan kerja-kerja kebajikan secara sukarela sebagai pesalah jenayah.
“Takrif ‘perkhidmatan kerja sosial’ yang terlalu luas boleh menyebabkan ribuan sukarelawan NGO, pengendali dapur rakyat percuma, kaunselor berasaskan agama, sukarelawan sokongan emosi serta petugas bantuan krisis berdepan tindakan undang-undang hanya kerana mereka tidak mempunyai pensijilan profesional.
“Undang-undang sepatutnya melindungi penggunaan gelaran ‘Pekerja Sosial’, bukannya menghukum individu yang ikhlas membantu masyarakat,” katanya ketika membahaskan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Di samping itu, beliau mencadangkan supaya takrif “perkhidmatan kerja sosial” dalam Fasal 2 diperhalusi dengan mewujudkan pemisahan yang jelas antara Pekerja Sosial Profesional yang memerlukan kompetensi khusus dengan aktiviti bantuan kemanusiaan serta kesukarelawanan masyarakat.
Dalam pada itu, YB Abdul Latiff menggesa supaya Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia diberikan autonomi yang lebih besar dengan membolehkan pengamal kerja sosial sendiri menerajui kepimpinan majlis tersebut.
Menurutnya, kepakaran profesional perlu menjadi asas kepada hala tuju majlis, bukannya bergantung sepenuhnya kepada struktur pentadbiran kerajaan.
Beliau menjelaskan, model sedemikian akan menjadikan profesion kerja sosial di Malaysia lebih diyakini serta berdaya saing, sekali gus mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut mencadangkan agar kuasa Menteri untuk membatalkan pelantikan anggota majlis di bawah Fasal 10 dan Fasal 23 disertakan dengan alasan rasmi bagi menjamin ketelusan, selain mewujudkan Tribunal Rayuan Bebas bagi mengendalikan rayuan disiplin tanpa campur tangan politik.
Menyentuh aspek kewangan, beliau berpandangan Majlis Profesion Kerja Sosial perlu diberikan dana berkanun atau kuasa menguruskan tabung sendiri supaya dapat menjalankan fungsi kawal selia secara bebas tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan kerajaan.
Selain itu, beliau membangkitkan keperluan mewujudkan satu standard profesional yang seragam dengan meneliti semula pengecualian kepada pegawai awam daripada keperluan memiliki sijil amalan profesional ketika menjalankan tugas kerja sosial.
Beliau juga meminta kerajaan menilai secara teliti penglibatan bukan warganegara dalam penyediaan perkhidmatan kerja sosial bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan yang boleh menjejaskan kepentingan agama, budaya dan keharmonian masyarakat.
Tambahnya, RUU tersebut merupakan langkah yang baik namun perlu ditambah baik agar benar-benar mengangkat martabat profesion kerja sosial di negara ini.
“Kita gubal undang-undang yang bukan sekadar mengikat tetapi undang-undang yang mengangkat martabat,” tegasnya.








