Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sasar tingkat pemilikan sijil halal dalam kalangan pengusaha makanan

Oleh: Syamimi Manah

KUBANG KERIAN, 15 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan peningkatan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam kalangan pengusaha dan premis makanan sebagai langkah memperkukuh ekosistem industri halal negeri serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata usaha tersebut menjadi antara agenda utama kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan yang telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada tahun ini.

Menurutnya, majlis berkenaan turut menggariskan beberapa strategi bagi memperkasakan industri halal negeri selaras dengan usaha di peringkat Persekutuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran serta jumlah pemilikan SPHM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada 17 cawangan Nasken Coffee yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di Nasken Coffee Pasir Tumboh, hari ini.

YB Mohd Asri berkata kejayaan Nasken Coffee memperoleh SPHM bagi 17 cawangannya wajar dijadikan contoh oleh pengusaha lain untuk memastikan operasi perniagaan memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

“Alhamdulillah pada hari ini Nasken dengan 17 cawangan telah mendapat SPHM. Ini satu kejayaan dari sudut penyebaran kesedaran halal dan kita mengucapkan tahniah kepada Nasken kerana berusaha memastikan semua cawangan mereka memperoleh sijil halal,” katanya.

Beliau berkata tanggapan bahawa sesebuah premis tidak memerlukan sijil halal kerana masyarakat sudah mengetahui status halal makanan yang dijual perlu diubah memandangkan SPHM kini menjadi penanda aras penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna.

“Sebenarnya dengan adanya SPHM, ia akan memberi peningkatan dari sudut keyakinan pelanggan untuk datang ke kedai dan memberikan sokongan yang lebih padu,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menjadikan peningkatan pemilikan SPHM sebagai antara sasaran utama dalam memperkukuh ekosistem industri halal negeri.

Katanya proses mendapatkan SPHM melibatkan penilaian menyeluruh terhadap aspek premis, produk, bahan mentah serta pengurusan pekerja sebelum sijil diluluskan.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi dan premis bersedia mematuhi garis panduan yang ditetapkan, permohonan SPHM boleh diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

“Isu kelewatan biasanya bukan daripada proses pengeluaran sijil, tetapi lebih kepada kesediaan premis itu sendiri. Ada yang perlu membuat penambahbaikan atau menaik taraf premis terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Halal JAHEAIK turut menyediakan khidmat bimbingan dan garis panduan kepada pengusaha bagi memudahkan proses permohonan SPHM.

Mengulas mengenai premis yang masih belum memiliki sijil halal, beliau berkata pihak berkuasa akan menjalankan penelitian dan siasatan sekiranya menerima aduan atau maklumat berkaitan.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha memperkukuh industri halal memerlukan komitmen bersama daripada pengusaha, pihak berkuasa dan masyarakat kerana konsep halal bukan hanya tertumpu kepada pensijilan, malah meliputi aspek kebersihan, kesucian dan etika dalam penyediaan makanan.

“Kita tidak mahu semata-mata kerana mengejar keuntungan, elemen syariah itu diketepikan. Apabila kita menjaga aspek halal dengan betul, insya Allah ia akan memberi keberkatan dan rezeki yang lebih luas,” katanya.

Beliau menegaskan perubahan persepsi terhadap kepentingan SPHM perlu terus dipupuk dalam kalangan pengusaha premis makanan supaya sijil halal menjadi amalan standard industri yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai hab industri halal yang diyakini.

Pautan berjaya disalin!