Kami jaga jenama, nama Kelantan dan imej orang Melayu – CEO Nasken Coffee
Oleh: Syamimi Manah
KUBANG KERIAN, 15 Julai – Pensijilan Halal Malaysia yang diterima 17 cawangan Nasken Coffee menjadi bukti komitmen Nasken Internasional Sdn. Bhd. dalam memperkukuh integriti jenama, menjaga nama Kelantan serta mengangkat imej usahawan Melayu dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Ketua Pegawai Eksekutif Nasken Internasional Sdn. Bhd. Mohd Nazif Ab Aziz berkata, usaha mendapatkan pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan perniagaan, malah menjadi tanggungjawab syarikat bagi memastikan setiap produk dan operasi mematuhi piawaian Halal Malaysia.
"Kita buat semua ini untuk jaga jenama kita, nama Kelantan dan imej orang Melayu. Pada masa sama, kita mahu maruah kerajaan negeri turut terpelihara melalui pematuhan kepada piawaian halal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pengesahan Sijil Halal Malaysia kepada 17 cawangan Nasken Coffee yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di Nasken Coffee Pasir Tumboh, hari ini.
Menurut Mohd Nazif, proses mendapatkan pensijilan halal bermula sejak tahun 2022 dan mengambil tempoh yang panjang kerana melibatkan penelitian serta pematuhan terhadap pelbagai syarat yang ditetapkan.
Jelasnya, pensijilan halal yang diterima bukan sahaja melibatkan operasi premis Nasken Coffee, malah merangkumi keseluruhan rantaian operasi termasuk gudang penyimpanan, kilang dan kenderaan logistik syarikat.
"Halal yang kita peroleh hari ini bukan setakat melibatkan kedai, tetapi juga warehouse, lori dan kilang. Kita mahu memastikan keseluruhan operasi mematuhi standard halal yang ditetapkan," ujarnya.
Tambahnya, ketika ini Nasken mempunyai 43 cawangan di seluruh negara dengan 17 cawangan telah menerima Pengesahan Sijil Halal Malaysia, manakala baki cawangan disasarkan memperoleh pensijilan halal sebelum Oktober tahun ini.
Mohd Nazif yang merupakan Alumni Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu turut memaklumkan, operasi Nasken di Kelantan merekodkan purata transaksi sekitar RM5,000 sehari dengan RM100,000 sebulan sekali gus mencerminkan sokongan berterusan pelanggan terhadap jenama tersebut.
Beliau turut memaklumkan, Nasken Coffee Pasir Tumboh merupakan cawangan yang mencatatkan jualan tertinggi berbanding semua cawangan Nasken di seluruh negara.
Menurutnya lagi, pencapaian itu membuktikan keyakinan pelanggan terhadap jenama Nasken serta menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti produk.
Mengulas mengenai cabaran industri makanan dan minuman (F&B), Mohd Nazif berkata sektor itu merupakan bidang yang berintensiti tinggi dan memerlukan komitmen berterusan bagi memastikan kualiti produk, kecekapan operasi serta kepercayaan pelanggan sentiasa terpelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Kelantan atas sokongan dan dorongan yang diberikan sepanjang proses mendapatkan pensijilan halal, selain mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta semua agensi berkaitan yang membantu menjayakan usaha tersebut.
Pada masa sama, beliau menghargai sokongan berterusan pelanggan terhadap Nasken dan menyifatkan penerimaan Pengesahan Sijil Halal Malaysia sebagai satu detik penting dalam memperkukuhkan kedudukan jenama syarikat untuk terus berkembang pada masa hadapan.














