17 cawangan Nasken Coffee terima Pengesahan Sijil Halal Malaysia
Oleh: Syamimi Manah
KUBANG KERIAN, 15 Julai – Sebanyak 17 daripada 43 cawangan Nasken Coffee hari ini menerima Pengesahan Sijil Halal Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung di Nasken Coffee Pasir Tumboh, hari ini.
Majlis penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Dato' Mohd Nassuruddin merakamkan ucapan tahniah kepada Nasken Internasional Sdn. Bhd. atas komitmen syarikat dalam memperoleh pensijilan halal yang diiktiraf sebagai antara pensijilan halal paling berprestij di dunia.
YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
Beliau berkata, pensijilan halal bukan sekadar memastikan makanan dan minuman yang disajikan mematuhi syariat Islam bahkan memenuhi konsep halalan tayyiban, iaitu makanan yang bersih, berkualiti dan tidak memudaratkan pengguna.
"Sijil Halal Malaysia sangat penting kerana ia memastikan setiap makanan dan minuman yang disediakan bukan sahaja halal tetapi juga halal lagi baik. Proses pengeluarannya pula melalui penelitian yang sangat teliti, sekali gus menjadikan pensijilan halal Malaysia antara yang paling diyakini di dunia," katanya.
Beliau turut memuji usaha Nasken mendapatkan pensijilan halal dan berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat untuk mengikuti langkah yang sama.
Menurutnya, bidang perniagaan merupakan antara sumber rezeki yang besar sebagaimana dianjurkan dalam Islam, justeru beliau menggalakkan lebih ramai orang Islam, khususnya anak muda dan rakyat Kelantan, menceburi bidang keusahawanan sehingga mampu mencapai kejayaan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Nasken atas usaha yang sangat baik ini. Semoga Nasken terus berkembang bukan sahaja di Kelantan, malah ke seluruh negara dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nasken Internasional Sdn. Bhd. Mohd Nazif Ab Aziz, berkata penerimaan pensijilan halal itu merupakan hasil usaha berterusan syarikat yang bermula sejak tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Nasken Internasional Sdn. Bhd. Mohd Nazif Ab Aziz
Beliau berkata, proses mendapatkan pensijilan tersebut mengambil masa yang panjang kerana melibatkan pematuhan menyeluruh terhadap standard Halal Malaysia.
"Alhamdulillah, ketika ini Nasken mempunyai 43 cawangan di seluruh negara. Hari ini sebanyak 17 cawangan telah menerima Sijil Halal Malaysia dan kami menyasarkan baki cawangan akan memperoleh pensijilan halal sebelum Oktober tahun ini," katanya.
Mohd Nazif berkata, pensijilan halal yang diterima melibatkan operasi premis Nasken Coffee merangkumi kilang, gudang penyimpanan serta kenderaan logistik syarikat bagi memastikan keseluruhan rantaian operasi mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta semua agensi yang terlibat dalam membantu menjayakan proses pensijilan tersebut.
Katanya, pengiktirafan itu menjadi satu detik bermakna buat Nasken dalam memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan dan integriti setiap produk yang ditawarkan, di samping menjadi pemangkin kepada perkembangan syarikat pada masa hadapan.
Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato' Abd Rahman Yunus.














