53 projek sakit direkod, Dato' Siti Zailah minta penjelasan kerugian kerajaan
Oleh: Asri Hamat
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff meminta Kementerian Kerja Raya menjelaskan jumlah projek sakit dan projek terbengkalai di seluruh negara sehingga suku pertama 2026 termasuk nilai keseluruhan projek serta kerugian kewangan yang ditanggung kerajaan akibat kelewatan dan kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual.
Menjawab soalan bertulis tersebut, Menteri Kerja Raya YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak 53 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai projek sakit setakat suku pertama tahun ini, mewakili 6.81 peratus daripada keseluruhan projek yang sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata, pada masa sama tiada projek di bawah seliaan JKR dikategorikan sebagai projek terbengkalai.
Menurutnya, daripada 53 projek sakit itu, sebanyak 17 projek telah ditamatkan kontrak.
“Kerugian dalam bentuk kewangan tidak dapat ditentukan, namun secara amnya terdapat kerugian dari aspek masa dan manfaat yang sepatutnya diterima oleh rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan penentuan kerugian kewangan akibat kelewatan atau kegagalan kontraktor tidak dapat dibuat kerana ia bergantung kepada pelbagai pertimbangan dan andaian.
Mengulas lanjut, beliau berkata JKR sedang menyelaras tindakan melantik kontraktor penyiap bagi menyiapkan baki kerja untuk 17 projek yang kontraknya telah ditamatkan.
Katanya, semua projek berkenaan diuruskan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK) 4.5 berkaitan Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit.
“Tuntutan terhadap sebarang perbelanjaan tambahan yang ditanggung oleh kerajaan diuruskan berdasarkan peruntukan kontrak serta dasar kerajaan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan langkah tersebut diambil bagi memastikan semua projek yang terjejas dapat disiapkan secara teratur supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.








