Laluan TVET antarabangsa terbuka, Kelantan hantar sepuluh pelajar ke Korea
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 15 Julai — Kelantan mencipta sejarah apabila sepuluh pelajar anak negeri dipilih sebagai kumpulan perintis mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Dongyang Mirae University, Seoul sekali gus membuka laluan TVET bertaraf antarabangsa kepada generasi muda negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata peluang berkenaan direalisasikan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Dongyang Mirae University yang dimeterai semasa lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri ke Republik Korea pada 7 hingga 12 Julai lalu.
Menurutnya, kerjasama strategik itu menjadi pemangkin kepada peluasan akses pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa untuk anak-anak Kelantan.
“Melalui kolaborasi strategik ini, Yayasan Islam Kelantan akan menghantar kumpulan perintis sebanyak sepuluh pelajar anak tempatan untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal selama tiga tahun di Dongyang Mirae University, Seoul.
“Bagi menyokong kebajikan para pelajar, pihak universiti turut menyediakan kemudahan penginapan secara percuma sepanjang tempoh pengajian,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau berkata program diploma tersebut menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan praktikal intensif bagi membolehkan pelajar memperoleh pendedahan secara langsung kepada standard industri pembuatan di Republik Korea.
Menurutnya, setiap pelajar akan menerima kemudahan pinjaman boleh ubah daripada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dengan nilai tajaan dianggarkan RM130,000 bagi tempoh tiga tahun pengajian.
Katanya, kumpulan perintis itu dijangka berlepas ke Republik Korea pada minggu terakhir Ogos 2026 sebelum memulakan sesi pengajian pada awal September 2026.
Dalam perkembangan sama, Dato' Wan Roslan memaklumkan, satu lagi Memorandum Persefahaman turut dimeterai antara YIK dan Korea Aviation Technical Academy (KATA) bagi membuka peluang latihan teknikal dalam bidang penyelenggaraan pesawat.
Menurutnya, kerjasama tersebut memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperluas pilihan pendidikan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri global.
“Bagi menjamin kesinambungan akademik jangka panjang, delegasi turut mengadakan tinjauan serta perbincangan strategik bersama Hanyang University ERICA bagi meneroka peluang dan menyediakan laluan terus kepada pelajar Kelantan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan diploma,” jelasnya.
Selain itu, delegasi kerajaan negeri turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Republik Korea bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara sepanjang mengikuti pengajian di negara berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YIK, YAKIN, Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGIKO) serta semua pihak yang menjayakan misi pendidikan tersebut.
Katanya, inisiatif berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan Kelantan dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi di peringkat antarabangsa.








