YB Mohd Adanan santuni 16 pelajar cemerlang STPM menerusi ziarah ke rumah
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 15 Julai – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menyantuni sebanyak 16 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 menerusi program ziarah rumah ke rumah selama tiga hari di sekitar DUN Kelaboran.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 9 Julai itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik para pelajar di samping memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi.
Sepanjang program tersebut YB Mohd Adanan mengunjungi kediaman pelajar di tujuh mukim iaitu Jubakar Pantai, Kelaboran, Kubur Datok, Kok Keli, Pulau Besar, Kampung Besut dan Pulau Seratus.
Beliau berkata, kejayaan memperoleh PNGK 4.00 bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada pelajar, malah merupakan hasil pengorbanan ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang tempoh pembelajaran.
"Alhamdulillah, tahniah buat pelajar yang berjaya. Sesungguhnya kejayaan ini adalah penguat semangat bagi ibu bapa mereka dan keluarga," katanya di laman sosial rasmi, semalam.
Menurutnya, terdapat dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi mahasiswa dan mahasiswi, malah ada yang bakal menjadi individu pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk mereka terus mencipta kecemerlangan serta mengharumkan nama keluarga, negeri dan negara pada masa hadapan.
YB Mohd Adanan turut menegaskan, kekurangan dari segi latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila terdapat pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan namun tetap berjaya memperoleh PNGK 4.00 hasil kesungguhan serta penekanan terhadap pendidikan.
"Walaupun sesetengah pelajar ini berasal daripada keluarga serba kekurangan, namun pendidikan tetap dititikberatkan. Saya ucapkan tahniah kepada ibu bapa mereka atas segala pengorbanan yang dicurahkan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada pelajar yang belum memperoleh keputusan seperti diharapkan agar tidak berputus asa kerana perjalanan mereka masih panjang dan peluang untuk berjaya sentiasa terbuka luas.














