ADN Kemahang sumbang lapan kipas kepada SMU Riayatul Diniah Bukit Mas
Oleh: Syamimi Manah
TANAH MERAH, 15 Julai — Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Anizam Ab Rahman menyumbangkan lapan unit kipas baharu kepada Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Riayatul Diniah Bukit Mas bagi meningkatkan keselesaan warga sekolah menggunakan dewan terbuka institusi berkenaan.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan guru yang menggunakan dewan untuk pelbagai aktiviti pembelajaran, perhimpunan, ceramah, majlis rasmi serta program sekolah.
Menurutnya, pemasangan kipas tersebut akan mewujudkan suasana yang lebih selesa khususnya ketika cuaca panas sekali gus menyokong proses pembelajaran dan penganjuran aktiviti sekolah dalam persekitaran yang lebih kondusif.
“Kemudahan yang baik akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk semua. Walaupun sumbangan ini kelihatan sederhana, ia memberi impak yang besar kepada keselesaan dan kebajikan warga sekolah,” katanya menerusi laman rasmi, pada Isnin.
Beliau berkata sebagai wakil Kerajaan Negeri Kelantan, pihaknya akan terus komited menyokong usaha memperkasakan institusi pendidikan melalui penyediaan kemudahan asas yang diperlukan.
Tambahnya penyediaan infrastruktur yang selesa merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan warga sekolah sentiasa diberi perhatian di samping menyokong pembangunan modal insan berkualiti.
“Semoga kemudahan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh warga SMU (A) Riayatul Diniah Bukit Mas. Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan menjadi amal kebajikan serta menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan,” ujarnya.










