Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan -MyIPO teroka kerjasama strategik bangunkan inovasi pertanian

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 15 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Pejabat Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi meneroka kerjasama strategik dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memperkasa pembangunan penyelidikan, inovasi dan perlindungan harta intelek dalam sektor pertanian serta industri agromakanan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kerjasama tersebut berpotensi mempercepat pembangunan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu meningkatkan nilai tambah serta daya saing sektor pertanian negeri.

Menurutnya, aspek perlindungan harta intelek perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap hasil penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum serta mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

Beliau memaklumkan, pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi dan perlindungan harta intelek khususnya yang melibatkan sektor pertanian dan industri agromakanan.

Katanya, antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh kerjasama antara Pejabat Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan dengan MyIPO dalam membangunkan penyelidikan berasaskan harta intelek.

“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan nilai inovasi, memperkukuhkan daya saing serta memperluaskan potensi pengkomersialan hasil penyelidikan demi manfaat sektor pertanian negeri,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah Operasi MyIPO Razhuan Hussin bersama rombongan di Mabna, semalam.

Beliau optimis jalinan kerjasama tersebut menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem pertanian yang lebih inovatif, berdaya saing dan mampan, sekali gus menyokong pembangunan sektor agromakanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Pautan berjaya disalin!