Boling PKPN 2026 eratkan kebersamaan staf Urus setia Kerajaan Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 15 Julai — Program Sukan Boling PKPN 2026 berjaya mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan staf mewakili 13 Urus setia Kerajaan Negeri Kelantan, sekali gus memperkukuh jaringan silaturahim dan budaya kerja berpasukan warga Perkhidmatan Negeri Kelantan.
Program julung kali anjuran Persatuan Pegawai-Pegawai Kontrak untuk Perkhidmatan Negeri Kelantan (PKPN) itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ahlinya dengan penyertaan 100 peserta yang berlangsung di Pusat Boling Mydin Tunjong pada 9 Julai lalu.
Presiden PKPN Ahmad Mustapha Ab Azais berkata, sambutan positif yang diterima membuktikan program berteraskan sukan mampu menjadi medium berkesan dalam memupuk hubungan lebih akrab serta meningkatkan semangat kebersamaan dalam organisasi.
"Kita bersyukur kerana penganjuran sulung Program Sukan Boling PKPN 2026 berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform memperkukuh kebersamaan, meningkatkan semangat berpasukan dan menyemarakkan budaya kerja positif dalam kalangan warga Urus setia Kerajaan Negeri Kelantan.
“Terima kasih kepada Jawatan kuasa Pelaksana dan para peserta atas semangat kebersamaan yang ditonjolkan melalui sambutan yang amat menggalakkan. Kita sedang mempertimbangkan cadangan majoriti peserta supaya Pertandingan Boling PKPN dijadikan acara tahunan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, program tersebut menjadi platform memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kerjasama dan menyemai budaya kerja yang lebih dinamik, harmoni serta progresif dalam kalangan warga PKPN.
“Apabila hubungan sesama warga diperkukuh, komunikasi menjadi lebih terbuka, kerjasama semakin mantap dan akhirnya menyumbang kepada pembentukan organisasi yang lebih cemerlang,” katanya.
Dalam pertandingan itu, Kumpulan 10 muncul juara selepas mengumpul 1,004 mata menerusi gandingan Che Mohd Irman Ismail, Muhammad Aiman Saipullah, Mohd Zaki Mat Zin dan Wan Zuhairi Wan Sulaiman.
Naib juara menjadi milik Kumpulan 12 dengan 846 mata yang diwakili Ahmad Irsyad Somad Abdul Bashit, Muhammad Hilmi P. Rameli, Ahmad Zaharuddin Zaid dan Mus Ab Hilaluddin.
Manakala tempat ketiga pula dimenangi satu lagi pasukan yang mengumpul 800 mata menerusi Wan Ahmad Fathee Wan Abdullah, Muhamad Abdul Aziz Mohamed Zin, Mohd Farmin Mayusoh dan Hafizi Mahadi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Che Mohd Irman Ismail dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki selepas mencatat 278 jatuhan pin.
Bagi kategori wanita, gelaran Pemain Terbaik dimenangi Pembantu Tadbir Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa) Aimi Munirah Ab Aziz dengan 245 jatuhan pin.














