Tiada kompromi, kerajaan negeri rampas aset perlombongan emas haram RM4.2 juta
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan dan eksploitasi sumber mineral negeri secara haram apabila operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang berjaya menahan tiga warga asing serta merampas jentera dan peralatan perlombongan emas haram bernilai kira-kira RM4.2 juta.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kegiatan perlombongan emas tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan tidak akan sesekali dikompromi kerana menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan.
Menurutnya, operasi yang diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan pada 13 Julai lalu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan perlombongan emas haram di Galas, Jajahan Gua Musang.
“Hasil operasi tersebut, tiga warga asing berjaya ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
“Pasukan penguat kuasa turut merampas pelbagai jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut melibatkan dua buah excavator, dua buah jentolak, tiga buah lori, sebuah dumper, sebuah generator elektrik, sebuah palong besi serta 20 unit karpet yang digunakan dalam proses pengasingan mineral.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan sah supaya menghentikan operasi mereka serta-merta.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada individu yang ditahan di lokasi kejadian, sebaliknya siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti individu tempatan yang menjadi dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau mana-mana pihak yang bersubahat, memberi perlindungan atau memperoleh manfaat daripada kegiatan tersebut.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh,” katanya.
Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi sebelum tindakan pendakwaan diteruskan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.
Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu akan terus diperkukuh dengan kerjasama PTG, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlombongan haram hingga ke akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perlombongan emas haram supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah mineral negeri terus dipelihara dan diurus mengikut lunas undang-undang demi kepentingan rakyat serta generasi akan datang.












