Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sasar 12 juta pelancong pada 2026, perkasakan acara pelancongan dan kebudayaan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 31 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) sedang merangka pelbagai acara pelancongan, kesenian dan kebudayaan bagi tahun 2026.

Usaha tersebut meneruskan kesinambungan serta kejayaan kempen 'Indahnya Kelantan' untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, Kelantan menyasarkan sebanyak 12 juta pelancong pada tahun 2026 berbanding 10.5 juta pada 2024 dan 11 juta pada 2025.

Menurutnya, data tersebut menunjukkan trend peningkatan kedatangan pelancong ke Kelantan setiap tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif promosi dan program pelancongan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor

“Kerajaan negeri amat berharap semua program yang dirancang untuk tahun 2026 akan mendapat kerjasama erat daripada semua pihak.

"Saya yakin kita akan menerima sokongan padu daripada pemain industri pelancongan serta penggiat kebudayaan dan kesenian yang menjadi elemen penting dalam produk pelancongan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kempen Malaysia Year End Sale (MYES), Wilayah Timur, di Perkarangan EON Mall, di sini, malam tadi.

Katanya lagi, Kelantan bukan sahaja terkenal dengan keunikan dan keenakan makanan tradisional, bahkan turut memiliki kepelbagaian budaya yang unik merangkumi pelbagai bidang kesenian dan warisan yang boleh menarik pelancong datang ke Kelantan.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan setiap pelancong yang datang ke Kelantan berasa terhibur, tenang dan selamat sepanjang berada di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin menegaskan faktor keselamatan dan keramahan masyarakat setempat menjadi antara kelebihan utama Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

“Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai tahap keselamatan tinggi. Sebagai contoh, kebanyakan kedai emas di Pasar Siti Khadijah tidak memerlukan pengawal keselamatan atau kehadiran polis secara tetap. Masyarakat Kelantan pula terkenal dengan sikap peramah dan mudah membantu,” katanya.

Tambahnya, keramahan penduduk tempatan serta suasana selamat merupakan faktor penting yang mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke sesuatu destinasi, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah, Tourism Malaysia Wilayah Timur Mohd Azizul Arif Yahaya, Pengurus AEON Mall Kota Bharu Ahmad Afnan Mohd Yusoff, Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan Azwan Ab Rahman, Wakil Agensi di bawah MOTAC, wakil NGO Pelancongan Negeri Kelantan dan rakan-rakan strategik MYES Wilayah Timur.