DVS Kelantan pelawa penternak mohon bantuan Kerajaan Negeri 2026
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 30 Disember - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (DVS Kelantan) mempelawa penternak dan usahawan ternakan yang layak untuk memohon Bantuan Kerajaan Negeri di bawah jabatan itu bagi Tahun 2026. Tempoh permohonan bermula 1 hingga 31 Januari 2026.
Dalam satu hantaran di laman rasminya hari ini, DVS menyatakan bahawa pelbagai program bantuan disediakan bagi memperkukuh pembangunan industri penternakan negeri selaras dengan usaha meningkatkan pengeluaran makanan serta pendapatan pengusaha ternakan tempatan.
Katanya, antara program bantuan yang ditawarkan ialah Bantuan Pawah Ternakan melibatkan lembu hibrid, kambing tenusu dan rusa, selain Bantuan Input Pertanian seperti mesin chopper, mesin rumput, tong silaj dan peralatan berkaitan.
"Turut disediakan ialah bantuan kepada usahawan Industri Asas Tani ternakan (IATn), latihan dan kursus berkaitan ternakan, Bantuan Pembangunan Program NAIMbif serta Bantuan Pembangunan Industri Unggas," katanya.
Bagi melayakkan permohonan, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang menetap di Kelantan, berumur antara 18 hingga 55 tahun, serta berdaftar dengan DVS Kelantan sekurang-kurangnya setahun
Pemohon juga perlu mempunyai ID Premis yang sah, komited terhadap projek yang dipohon dan bersedia dipantau sepanjang tempoh pelaksanaan.
Selain itu, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan yang sama secara bertindih dalam tempoh tiga tahun.
Dari segi tatacara permohonan, penternak perlu terlebih dahulu mengisi soal selidik saringan awal melalui pautan Borang Google yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi.
Namun begitu, borang permohonan rasmi wajib diambil dan dihantar ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan (PPVJ) mengikut lokasi ladang masing-masing.
DVS Kelantan memaklumkan hanya permohonan yang berjaya akan dihubungi bagi proses seterusnya.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan yang berkenaan seperti tertera pada poster rasmi.
Orang ramai khususnya penternak di Kelantan diseru agar tidak melepaskan peluang berkenaan bagi memperkukuh serta memajukan industri penternakan Kelantan secara lebih mampan dan berdaya saing.
















