Accessibility Tools

Skip to main content

Kuala Krai tumpuan sukan permotoran ekstrem negara

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KUALA KRAI, 29 Disember – Jajahan Kuala Krai terus menjadi lokasi pilihan penganjuran acara sukan permotoran ekstrem negara apabila menjadi lokasi Flag Off pelepasan peserta Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025 yang berlangsung di Taman Chintawanga, semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, beliau bersama para peminat sukan permotoran ekstrem turun menyambut ketibaan peserta sebelum membuat pelepasan rasmi ke FMC Kelah dan Lata Y untuk meneruskan program seterusnya.

“Saya bersama-sama para peminat sukan permotoran ekstrem turun ke Taman Chintawanga untuk menyambut ketibaan peserta-peserta Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025 sebelum membuat Flag Off pelepasan ke FMC Kelah dan Lata Y,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Menurutnya, sebanyak 200 peserta merangkumi pemandu, kru sokongan serta pencinta aktiviti off-road dari seluruh negara menyertai acara tersebut yang bermula pada 24 Disember 2025 di Gua Musang dan dijadual berakhir pada 1 Januari 2026.

Katanya lagi, pada 31 Disember, para peserta akan bermalam di Istana Sangkut, Manek Urai, selepas berkampung di Gua Ikan, Dabong dan seterusnya singgah di Bandar Kuala Krai.

Sepanjang laluan, peserta berentap dalam tiga kategori iaitu Adventure, Trophy dan Open yang menguji ketahanan fizikal, kemahiran teknikal pemanduan, navigasi serta kerjasama pasukan ketika meredah laluan hutan tebal, sungai deras dan permukaan berbatu.

YB Hilmi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil berkata, penganjuran itu bukan sahaja mengangkat nama Kuala Krai khususnya dan Kelantan amnya sebagai antara destinasi off-road terbaik negara, bahkan menjadi pemangkin ekonomi baharu terutama kepada komuniti luar bandar melalui kehadiran peserta dari seluruh negara.

Mengulas rekod penganjuran terdahulu, beliau memaklumkan Kuala Krai telah berjaya menganjurkan Kuala Krai 4x4 Off Road Challenge pada Mei lalu yang menerima liputan meluas dan dirancang sebagai acara tahunan.

“Insya Allah, pada tahun 2026 pihak Malaysia Adventure Trophy berhasrat menganjurkan acara ini di Kuala Krai untuk peringkat ASEAN pula,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, penganjuran sukan ekstrem seperti ini membuka ruang kepada penglibatan belia, merancakkan ekonomi domestik serta menjadi medium promosi antarabangsa Kuala Krai sebagai pusat aktiviti lasak, sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha homestay, penginapan, servis kenderaan, makanan tradisional dan usahawan kecil dan sederhana.

YB Hilmi merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Thomas Foo dan pasukan Malaysia Adventure Team, Barracuda Krai, Lacar Group, Task Force Kuala Krai serta semua penyokong, kru dan ahli jawatankuasa penganjur atas kejayaan penganjuran acara berprestij tersebut.