Bengkel Parenting 360 DUN Kemahang bina keluarga bijak hadapi cabaran zaman
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 15 Disember – Bengkel Parenting 360 DUN Kemahang yang berlangsung pada Sabtu lalu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa institusi kekeluargaan melalui pengisian bermanfaat khusus untuk pasangan berumahtangga serta ibu bapa yang mempunyai anak-anak.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata program tersebut dirangka bagi membantu keluarga memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membina institusi kekeluargaan yang kukuh berteraskan nilai Islam, selaras dengan keperluan semasa masyarakat.
"Dalam era yang semakin mencabar, ibu bapa berdepan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak yang terdedah kepada penggunaan gajet, media massa serta pengaruh luar.
"Ancaman terhadap akidah dan pembentukan sahsiah anak-anak hadir secara halus, sekali gus menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kepekaan ibu bapa dalam membimbing mereka ke arah landasan yang betul," katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Kemuncak bengkel diisi dengan ceramah motivasi oleh penceramah jemputan khas yang mengupas tajuk “Bijak Didik, Anak Cerdik”.
Ceramah berkenaan menyentuh realiti semasa pendidikan anak-anak serta mengetengahkan pendekatan berasaskan Islam yang praktikal dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Selain pengisian ilmu, program tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna yang melibatkan pelbagai kategori daripada kanak-kanak hingga dewasa.
Aktiviti berkenaan berjaya mencungkil bakat kreativiti peserta, bahkan menggalakkan penglibatan seisi keluarga.
Suasana program bertambah meriah apabila hadirin turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur.
Penganjuran Bengkel Parenting 360 memberi manfaat dari segi pengetahuan dan kesedaran keibubapaan serta berjaya mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memperkukuh jaringan komuniti dalam kalangan warga setempat.














