Yayasan Kasih Mutiara legasi tokoh korporat Kelantan perkukuh kebajikan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 3 September – Sejarah baharu dilakar apabila Yayasan Kasih Mutiara yang diasaskan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Nik Lah, dilancarkan secara rasmi.
Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di sebuah hotel di sini, semalam.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Pak Nik Lah membangunkan yayasan hasil daripada usaha keras dan pengalaman lebih 50 tahun dalam industri pengangkutan.
Menurutnya, penubuhan yayasan tersebut melangkaui kejayaan dunia korporat kerana memfokus kepada pendidikan, kelestarian, kemahiran serta kebajikan masyarakat.
“Yayasan Kasih Mutiara akan menjadi jambatan amal soleh yang bukan sahaja mengangkat taraf hidup masyarakat, tetapi juga bekalan pahala berpanjangan di akhirat,” katanya.
Beliau menzahirkan harapan agar yayasan berkenaan mampu melahirkan lebih ramai insan berjaya yang berbakti kepada tanah air, sekali gus mewujudkan masyarakat yang makmur, sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah SWT.
Baginya, penubuhan Yayasan Kasih Mutiara menandakan kesinambungan perjuangan tokoh korporat Kelantan (Pak Nik Lah) membina empayar dalam dunia pengangkutan, bahkan turut menyumbang kembali kepada masyarakat melalui wadah kebajikan dan pembangunan insan.











