Setangan Getam Budu diisytihar sebagai Warisan Negeri Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 September — Setangan Getam Budu, tengkolok tradisional kebanggaan negeri Kelantan kini diangkat sebagai warisan rasmi negeri ini dalam satu majlis penuh adat dan bersejarah yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini, semalam.
Majlis perisytiharan tersebut disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni al-marhum Sultan Ismail Petra.
Dalam titahnya, baginda turut merasmikan Festival Tekstil dan Warisan Kelantan 2025.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, kita merasmikan Festival Tekstil dan Warisan Kelantan 2025 dan mengisytiharkan bahawa Setangan Getam Budu sebagai warisan Kelantan,” titah baginda.
Setangan Getam Budu merupakan tengkolok khas negeri Kelantan yang menjadi tanjak rasmi kepada Sultan Kelantan.
Destar tersebut melambangkan kedaulatan institusi diraja dan dipakai oleh kerabat diraja, pembesar negeri serta pegawai tadbir dalam majlis-majlis adat istiadat di istana.
Getam Budu diperbuat sepenuhnya daripada sehelai kain songket tanpa dipotong. Proses pembuatannya sangat teliti, dimulakan dengan lipatan kain menjadi bentuk segi tiga bagi membentuk tapak seperti songkok, sebelum dijahit tangan secara kemas agar tidak kelihatan jahitan.
Bahagian hadapan nya pula diperindah dengan lipatan berbentuk bunga, manakala simpulan khas menghiasi bahagian belakangnya.
Getam Budu mula dipakai semasa pemerintahan Sultan Ismail Sultan Muhammad IV sekitar tahun 1920 hingga 1944.
Setangan Getam Budu digandingkan bersama busana rasmi seperti baju kebangsaan dan samping hitam, menjadikannya simbol penuh wibawa dalam tradisi istana Kelantan.
Sebagai sebahagian daripada acara simbolik perisytiharan, Setangan Getam Budu telah diarak mengelilingi sekitar kawasan Istana Balai Besar dengan diiringi dua ekor gajah, iaitu Cheri dan Rambai yang menyemarakkan lagi suasana penuh adat dan warisan.
Untuk rekod, Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan berlangsung dari 1 hingga 14 September, di Istana Balai Besar, bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah percuma.
Pelbagai pameran di tampilkan sempena festival tersebut, antaranya Bunga Emas Kelantan yang asli, iaitu warisan kesultanan Kelantan yang julung kali dipamerkan secara umum untuk tatapan orang ramai.
Turut dipamerkan keris warisan Melayu Kelantan serta warisan Melayu dari seluruh nusantara, serta barangan tembaga.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad.