Accessibility Tools

Skip to main content

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan


Usahawan tani digalakkan ceburi sektor hiliran madu kelulut

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 2 Sept – Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menggalakkan lebih ramai usahawan tani di Kelantan agar berani menceburi sektor hiliran berasaskan kelulut.

Menurutnya, madu kelulut bernilai tinggi dalam pasaran makanan dan  berpotensi besar dalam sektor kesihatan, pemakanan tambahan dan kosmetik. 

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan tani di Kelantan berjaya meneroka sektor hiliran yang mempunyai nilai tambah tinggi. Nilai tambah yang terhasil daripada produk madu kelulut boleh mengangkat industri bioteknologi pertanian negeri ke tahap lebih berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Bengkel Agri Bio Class: Penghasilan Produk Hiliran Berasaskan Kelulut yang berlangsung di Dewan Fiber, Institut Latihan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian pada Isnin.

Program anjuran Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd itu menghimpunkan 20 usahawan tempatan yang terlibat dalam penerokaan dan pembangunan inovasi produk hiliran berasaskan kelulut.

Menurut Dato’ Tuan Mohd Saripudin, usaha tersebut seiring dengan misi kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pertanian pintar dan lestari, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negeri secara menyeluruh.

Bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada pengenalan, teori dan praktikal mengenai teknik penghasilan produk hiliran berasaskan madu kelulut, khususnya dalam aspek makanan, kesihatan dan kosmetik.

Jelasnya, penghasilan produk berasaskan madu kelulut mampu memperkukuhkan ekonomi tempatan dan boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada komuniti penternak. Sekali gus, membuka peluang pekerjaan dalam bidang pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan pengedaran produk.

“Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai salah satu langkah strategik menyemarakkan semangat keusahawanan tani dalam kalangan rakyat Kelantan, selari dengan prinsip Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menekankan pertanian sebagai ibadah dan sumber keberkatan,” ujarnya.