Bahasa tindakan lebih berkesan daripada percakapan - MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 1 September – Cabaran terbesar dalam usaha menyebarkan risalah Islam pada masa kini ialah memperlihatkan ajaran Islam melalui bahasa tindakan seharian berbanding percakapan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, konsep berdakwah melalui teladan hidup (dakwah bil-hal) yang menuntut umat Islam menzahirkan akhlak mulia, sikap berhemah dan pendirian yang teguh lebih berkesan berbanding menyeru secara lisan.
“Bahasa tindakan lebih berkesan daripada bahasa percakapan. Inilah dakwah bil-hal, iaitu cara hidup yang memberi teladan secara langsung kepada masyarakat.
"Kita perlu menunjukkan Islam melalui akhlak, sikap dan cara hidup yang menyeluruh,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Halaqat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Pusat Konvensyen Kelantan (KTC), di sini, hari ini.
Menurut Dato’ Nassuruddin, dakwah tidak boleh dilihat sebagai tugas segelintir golongan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama setiap Muslim.
Menurutnya, kewujudan Halaqat sebagai entiti khusus adalah amat penting bagi menyusun strategi dakwah secara sistematik dan berkesan.
Beliau turut mengangkat pandangan tokoh ulama, Syeikh Sa’id Hawwa, yang menyifatkan dakwah bukan sahaja matlamat, tetapi juga wasilah bagi mencapai tujuan lebih besar termasuk penyucian jiwa, pembinaan individu Muslim, pengukuhan keluarga, pembentukan masyarakat dan negara Islam.
“Melalui Halaqat, kita mahu melahirkan masyarakat yang memahami Islam bukan sekadar teori, tetapi sebagai cara hidup menyeluruh. Inilah jihad dakwah yang mesti digerakkan bersama,” ujarnya.
Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) atas inisiatif menganjurkan konvensyen yang julung-julung kali diadakan.
Tambahnya, platform berkenaan penting untuk memperkukuh agenda dakwah negeri dengan lebih tersusun, berwawasan dan berdaya saing.