SG4 sepakat tolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025
Oleh: Asri Hamat
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Negeri-negeri SG4 yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bersepakat menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual akan dibentangkan semula untuk bacaan kali kedua di Parlimen, hari ini.
Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Besar keempat-empat negeri tersebut menegaskan bahawa sekiranya RUU itu diluluskan, ia akan memberi kesan besar terhadap bidang kuasa negeri termasuk kuasa autonomi, hak pemilikan tanah, serta hak asasi dan kelangsungan komuniti bandar, khususnya masyarakat asal di kawasan tersebut.
“RUU ini jika diluluskan akan terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ia dijangka akan memberi kesan terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Negeri-negeri SG4 turut menegaskan bahawa Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah dengan jelas menetapkan bahawa perancangan bandar merupakan bidang kuasa eksekutif negeri dan dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
“Akta 172 mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang selaras dengan dasar kerajaan negeri serta budaya dan keperluan penduduk setempat. Pendekatan ini lebih holistik kerana ia mengambil kira cita rasa pembangunan negeri yang berteraskan pertimbangan dasar dan budaya penduduk,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, kenyataan bersama itu turut melahirkan kebimbangan terhadap potensi gangguan terhadap hak pemilikan asal tanah dan komuniti tradisi di kawasan bandar, khususnya kaum Melayu dan Bumiputera.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor; dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
“RUU PSB ini juga tidak memperincikan mekanisme pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap potensi ketidakseimbangan kaum dalam pemilikan hartanah di bandar-bandar,” jelas mereka lagi.
Menurut SG4, undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, jika dilaksanakan dengan baik dan ditambah baik mengikut keperluan semasa, adalah mencukupi untuk menangani isu-isu berkaitan pembangunan semula bandar.
“Oleh yang demikian, negeri-negeri SG4 menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025,” tegas kenyataan itu.